NEW YORK, 16 Okt (Bernama-CMG) -- Wakil Tetap China ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Fu Cong pada Khamis menyeru supaya ketegangan di Asia Barat diredakan secepat mungkin.
Fu ketika berucap pada sesi perbahasan terbuka Majlis Keselamatan PBB mengenai situasi di rantau itu berkata perang antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran sepatutnya tidak berlaku, manakala konflik yang berterusan ketika ini tidak selaras dengan kepentingan pihak yang terlibat mahupun seluruh masyarakat antarabangsa.
Beliau menggesa AS dan Iran menyambung semula dialog serta rundingan bagi mencapai perjanjian menyeluruh yang boleh diterima oleh kedua-dua pihak.
China turut mendesak semua pihak memastikan keselamatan dan kelancaran sepanjang laluan perkapalan antarabangsa serta kestabilan rantaian bekalan dan industri antarabangsa terjamin.
Fu berkata situasi di Yaman semakin meruncing sejak kebelakangan ini, dengan kesan negatif konflik berkenaan semakin meluas.
Menurut beliau, isu Palestin yang menjadi teras kepada situasi di Asia Barat juga tidak boleh diabaikan atau diketepikan.
"China menggesa semua pihak berkaitan, khususnya Israel supaya melaksanakan perjanjian gencatan senjata di Semenanjung Gaza secara menyeluruh dan dengan ikhlas, selain menghentikan semua operasi ketenteraan di wilayah itu.
"Israel juga perlu memenuhi kewajipannya di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa serta memastikan bantuan kemanusiaan dan peralatan yang diperlukan dapat dibawa masuk ke Gaza dalam jumlah yang besar," katanya.
"Selain itu, China menyokong Syria memajukan proses peralihan politik yang inklusif. Bukit Golan ialah wilayah Syria yang diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa dan kini di bawah pendudukan Israel. China menyeru Israel menamatkan kehadiran ketenteraan haramnya di Syria.
"China sejak sekian lama berperanan sebagai pembina keamanan, pemacu kestabilan dan penyokong pembangunan di Asia Barat, dan akan terus menyumbang usaha kepada kestabilan jangka panjang serta pembangunan dan kemakmuran rantau itu," tambah beliau.
-- BERNAMA-CMG