Am 16/10/2026 03:00 PM

Malaysia Hasrat Bawa Inisiatif Luban Workshop Dari China, Perkasa TVET Luar Bandar

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Malaysia Hasrat Bawa Inisiatif Luban Workshop Dari China, Perkasa TVET Luar Bandar

Daripada Mohd Yusof Saari

TIANJIN (China), 16 Okt (Bernama) -- Kerajaan berhasrat membawa model latihan kemahiran terkemuka China, Luban Workshop ke Malaysia bagi memperkasakan keupayaan tenaga pengajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) khususnya dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran di kawasan luar bandar.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata inisiatif itu menawarkan pendekatan latihan tenaga pengajar yang membolehkan kepakaran teknikal dipindahkan secara langsung kepada pensyarah dan pengajar tempatan tanpa perlu menghantar pelajar ke China.

Beliau berkata Luban Workshop bukan sahaja menyediakan latihan, malah menawarkan peralatan secara percuma serta modul pengajaran terkini bagi membantu meningkatkan keupayaan institusi TVET tempatan.

“Seperti yang saya cadangkan dalam ucapan, pihak Luban Workshop akan diundang untuk menubuhkan program mereka di Malaysia, khususnya di kawasan luar bandar yang memerlukan latihan bagi melahirkan tenaga kerja berkemahiran teknikal.

"Ini merupakan satu pendekatan iaitu mereka datang, dan kita tidak menghantar pelajar. Jadi, lebih ramai tenaga pengajar akan mendapat faedah apabila mereka datang ke negara kita," katanya pada sidang media selepas menyampaikan ucaptama pada Persidangan Pembangunan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Sedunia 2026 (WVTEDC 2026) di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata selain berharap inisiatif itu dapat diperluas ke kawasan luar bandar bagi memenuhi keperluan pasaran kerja, kerjasama berkenaan turut berupaya memperkukuh ekosistem TVET negara menerusi pendedahan kepada teknologi termaju seperti teknologi kuantum, kecerdasan buatan (AI) dan sistem maklumat.

Beliau berkata Malaysia perlu memanfaatkan pengalaman China dalam membangunkan pendidikan dan latihan kemahiran bagi memastikan tenaga pengajar tempatan terus mendapat pendedahan kepada perkembangan teknologi terkini.

Ahmad Zahid turut menarik perhatian bahawa negara serantau seperti Thailand serta Indonesia telah meraih manfaat ketara daripada pelaksanaan inisiatif Luban Workshop dan Malaysia perlu merebut peluang serupa.

“Kerjasama dengan China, khususnya melalui inisiatif Luban Workshop berpotensi memperkukuh pembangunan tenaga pengajar dan memperluas akses kepada latihan kemahiran teknikal, terutama dalam kalangan belia di kawasan luar bandar, sekali gus membantu menyediakan tenaga kerja yang memenuhi keperluan pasaran pekerjaan,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara berkata TVET berpotensi menjadi pemangkin utama kepada usaha Malaysia memenuhi sasaran melahirkan 60,000 jurutera atau tenaga kerja berkemahiran tinggi bagi sektor semikonduktor menjelang 2030.

Timbalan Perdana Menteri berkata pendekatan melalui ekosistem TVET diperlukan bagi melengkapi sistem pendidikan akademik konvensional dalam usaha mencapai sasaran berkenaan.

Beliau berkata Malaysia mempunyai enam universiti di bawah Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia, namun pendekatan akademik konvensional sahaja berdepan cabaran untuk memenuhi keperluan tenaga kerja mahir dalam tempoh ditetapkan.

"Melalui ekosistem pendidikan TVET, saya percaya sasaran untuk mencapai 60,000 jurutera atau sekurang-kurangnya tenaga kerja berkemahiran yang berkelayakan dapat dipenuhi menerusi ekosistem pendidikan baharu di Malaysia," katanya.

-- BERNAMA