Am 15/10/2026 05:31 PM

MBKT Belanja RM11.68 Juta Setiap Tahun Urus Sisa Pepejal

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
MBKT Belanja RM11.68 Juta Setiap Tahun Urus Sisa Pepejal
kredit: Majlis Bandaraya Kuala Terengganu

KUALA TERENGGANU, 15 Okt (Bernama) -- Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) membelanjakan kira-kira RM11.68 juta bagi kos operasi pengurusan sisa pepejal setiap tahun.

Datuk Bandar Kuala Terengganu Lizan Che Mat berkata jumlah perbelanjaan itu merangkumi kos tenaga kerja, bahan api, penyelenggaraan lori dan jentera, pengangkutan serta operasi pelupusan sisa pepejal.

Beliau berkata sebanyak 40 lori digunakan untuk menguruskan kira-kira 300 hingga 400 tan metrik sampah setiap hari di seluruh lokasi pentadbiran MBKT.

"Kerja-kerja pembersihan di kawasan pelancongan dilakukan setiap hari, manakala kutipan sampah diselesaikan pada awal pagi bagi memastikan lokasi berkenaan sentiasa bersih dan terkawal.

"Aktiviti pemotongan rumput pula dilaksanakan sekurang-kurangnya dua atau tiga kali sebulan, bergantung pada kadar pertumbuhan rumput atau keperluan sesebuah kawasan," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Lizan berkata sikap segelintir masyarakat yang tidak bertanggungjawab seperti membuang sampah di luar tong, melonggokkan sampah secara pukal dan membakar tong sampah menyukarkan usaha MBKT untuk memastikan kebersihan bandar raya itu sentiasa terpelihara.

"Pertumbuhan pesat bandar raya Kuala Terengganu meliputi aspek perumahan, komersial dan pelancongan memberi cabaran kepada pihak MBKT untuk mengekalkan kebersihan dan kos pengurusan.

"Perbuatan membuang tilam, perabot dan sisa kebun di kawasan tong sampah awam bukan sahaja menjejaskan kebersihan, malah boleh menyebabkan kawasan berkenaan menjadi tidak terurus termasuk tindakan membakar tong sampah juga menambah beban kepada pengurusan pihak berkuasa tempatan," katanya.

Sehubungan itu, Lizan meminta kerjasama orang ramai supaya memastikan sampah dibuang di tempat disediakan dengan cara yang betul dan sesuai.

-- BERNAMA