Am 15/10/2026 04:29 PM

Belanjawan 2027: KPKT Perkukuh Akses Pemilikan Rumah Pertama Menerusi Jaminan Pembiayaan RM20 Bilion

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Belanjawan 2027: KPKT Perkukuh Akses Pemilikan Rumah Pertama Menerusi Jaminan Pembiayaan RM20 Bilion
Kredit: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan

KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Sebanyak 80,000 rakyat disasar akan mendapat manfaat daripada Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) menerusi jaminan pembiayaan RM20 bilion dalam Belanjawan 2027, bagi memperluas peluang memiliki rumah pertama, khususnya dalam kalangan golongan muda dan pekerja tanpa pendapatan tetap.

Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Datuk Dr M Noor Azman Taib berkata skim itu, membolehkan golongan yang tidak mempunyai slip gaji tetap termasuk pekerja ekonomi gig, mendapatkan pembiayaan perumahan dengan jaminan kerajaan.

“SJKP yang diperkenalkan pada 2008 telah berjaya membantu lebih 124,000 individu mendapatkan kemudahan pembiayaan perumahan, dengan lebih 34 peratus penerimanya terdiri daripada golongan berumur 26 hingga 30 tahun.

“Ini satu data yang bagus dan menunjukkan bahawa golongan muda boleh memiliki rumah melalui SJKP,” katanya ketika menjadi tetamu program Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV, di sini hari ini.

Bagi tahun 2027, beliau berkata kerajaan turut menyediakan RM500 juta bagi pelaksanaan Program Rumah Mesra Rakyat (RMR), dengan sasaran kira-kira 6,800 unit rumah baharu untuk golongan yang mempunyai tanah, tetapi berhadapan kekangan kewangan untuk membina kediaman sendiri.

Selain itu, Program Residensi Rakyat (PRR) pula menyasarkan pembinaan kira-kira 1,200 unit kediaman tambahan menerusi empat projek di Johor, Negeri Sembilan, Terengganu dan Melaka yang memanfaatkan hampir 7,000 orang isi rumah.

Mengenai pembangunan Bandar MADANI Bukit Jalil, M Noor Azman berkata ia merangkumi kira-kira 17,000 unit kediaman, akan dilaksanakan secara berfasa dalam tempoh 10 hingga 15 tahun dengan kemudahan sekolah, kesihatan dan keselamatan disediakan dalam kawasan pembangunan berkenaan.

Beliau berkata pembangunan itu turut mengambil kira keperluan menaik taraf jalan raya dan pengurusan trafik, bagi memastikan kemudahan infrastruktur dapat menampung pertambahan penduduk.

Bagi penyelenggaraan bangunan strata, beliau berkata kerajaan menyediakan lebih RM40 juta untuk kerja berkaitan lif termasuk pembaikan, naik taraf dan penggantian.

M Noor Azman berkata penyelenggaraan kemudahan bersama, turut memerlukan tanggungjawab penghuni untuk membayar caj penyelenggaraan kepada badan pengurusan bersama (JMB) atau perbadanan pengurusan (MC), bagi memastikan kemudahan seperti lif, tangki air dan bumbung berada dalam keadaan baik.

Sementara itu, beliau berkata peruntukan RM700 juta disediakan dalam Belanjawan 2027, bagi menaik taraf kemudahan awam menerusi kerjasama 156 pihak berkuasa tempatan (PBT), termasuk pembaikan infrastruktur, longkang, taman rekreasi, tandas awam, pasar dan gerai penjaja.

Beliau berkata sebanyak RM495.3 juta dibelanjakan pada 2025 bagi menyiapkan 3,365 projek di seluruh negara, manakala RM560 juta telah dibelanjakan bagi projek seumpamanya setakat tahun ini.

M Noor Azman berkata bagi mengurangkan risiko banjir kilat di kawasan bandar pula, KPKT menerima peruntukan RM320 juta untuk menaik taraf dan menyelenggara kawasan berisiko, seperti kolam takungan dan cerun, dengan 1,445 lokasi panas banjir dikenal pasti di seluruh negara.

Beliau berkata KPKT menerima peruntukan RM6.355 bilion dalam Belanjawan 2027, meningkat RM266.74 juta atau 4.38 peratus berbanding RM6.088 bilion pada 2026, bagi melaksanakan program perumahan dan menaik taraf kemudahan awam di seluruh negara.

“Ia mencerminkan kesungguhan kerajaan untuk terus memperkukuh agenda perumahan, pembangunan infrastruktur dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

-- BERNAMA