JOHOR BAHRU, 15 Okt (Bernama) -- Sebuah tapak pelupusan sampah berkeluasan 0.0232 hektar di Jalan Muhibbah, Kampung Pasir Putih, Pasir Gudang, di sini terbakar malam tadi.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang PBK I Mohd Zuhdieyusni Said berkata 18 anggota serta jentera termasuk daripada BBP Johor Jaya digerakkan ke lokasi kejadian sebaik panggilan kecemasan diterima pada 10.04 malam.
Beliau berkata setakat 3.17 pagi tadi, kebakaran merebak hingga 500 kaki persegi dan menjejaskan kawasan berhampiran simpanan fiber melibatkan longgokan bongkah boya setinggi kira-kira 3 meter.
“Operasi pemadaman berhadapan kesukaran berikutan ketiadaan sumber air di kawasan berdekatan.
“Anggota bergantung kepada pam angkut air laut dan berulang-alik ke pili bomba terdekat sejauh 3.5 kilometer untuk mengisi semula tangki jentera,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kejadian tidak melibatkan mangsa dan operasi masih berjalan pada pagi ini.
Terdahulu, beberapa gambar dan rakaman video kebakaran itu tular di media sosial.
-- BERNAMA