BATU PAHAT, 15 Okt (Bernama) -- Seorang pelajar lelaki Tingkatan Empat dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh Irene Sofiya Khairol Faisal di sebuah sekolah menengah kebangsaan di Yong Peng, awal bulan ini.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang juga rakan sekelas Irene Sofiya selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mustaqim Sukarno kerana kes berkenaan di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, remaja lelaki berusia 16 tahun itu didakwa membunuh Irene Sofiya di dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Seth, Yong Peng, antara 2.30 petang hingga 4 petang pada 3 Okt lepas.
Kes dikemukakan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta tidak kurang daripada 12 sebatan jika tidak dikenakan hukuman gantung.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Juanita Mohd Said dan Firdaus Ruslan, manakala tertuduh diwakili peguam Muhd Azlan Shah Mohd Allias dan Suhaila Shafi'uddin.
Mahkamah kemudian menetapkan 22 Dis depan untuk sebutan semula kes bagi menunggu laporan forensik dan laporan bedah siasat.
Ketika ditemui media selepas prosiding dijalankan secara tertutup itu, Muhd Azlan berkata prosiding seterusnya akan berlangsung di Mahkamah Majistret Yong Peng pada 22 Dis sebelum kes berkenaan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi selepas proses sebutan selesai.
“Setakat ini, keadaan remaja itu baik dan tiada masalah. Memandangkan kes ini melibatkan pertuduhan di bawah Seksyen 302, dia tidak dibenarkan diikat jamin,” katanya.
Pada 3 Okt lepas, Irene Sofiya ditemukan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah di dewan sekolah berkenaan, kira-kira 5 petang sebelum disahkan meninggal dunia.
Susulan kejadian itu, suspek lelaki berusia 16 tahun ditahan reman selama enam hari pada 4 Okt lepas bagi membantu siasatan dan disambung enam hari lagi sehingga hari ini.
-- BERNAMA