KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin menerima Anugerah WAWASANITA Ikon Kepimpinan Media 2026 daripada Persatuan Usahawan Wawasan Wanita Malaysia (WAWASANITA), di sini hari ini.
Anugerah berkenaan bagi mengiktiraf kepimpinan, pencapaian profesional dan sumbangan beliau kepada kemajuan industri media dan kewartawanan Malaysia.
Penyampaian rasmi anugerah itu berlangsung pada majlis “WAWASANITA 30 Tahun – Legasi Merentas Sempadan”, yang diadakan bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-30 persatuan berkenaan.
Presiden WAWASANITA Dr Norli @ Norlaili Alias berkata kepimpinan Nur-ul Afida sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Bernama menyumbang kepada pemerkasaan kewartawanan berwibawa, penyampaian berita secara profesional dan komunikasi awam yang bertanggungjawab di Malaysia
“Kepimpinan beliau mencerminkan kepentingan integriti kewartawanan, kewibawaan institusi dan peranan media dalam menghubungkan masyarakat, memperkukuh pemahaman awam dan mengalakkan penyertaan bermaklumat dalam hal ehwal nasional dan antarabangsa.
“Sebagai tokoh wanita dalam industri media Malaysia, Datin Paduka Nur-ul Afida mencerminkan kecemerlangan profesional, ketabahan dan kepimpinan yang menjadi aspirasi WAWASANITA,” katanya.
Beliau berkata pencapaian Nur-ul Afida menjadi inspirasi kepada wanita profesional dan bakal pemimpin, sekali gus membuktikan kepentingan penglibatan wanita dalam kepimpinan eksekutif dan institusi nasional berpengaruh.
Sementara itu, Nur-ul Afida berkata anugerah tersebut ditujukan khas kepada rakan-rakan wartawan wanita di Malaysia yang telah membuktikan keupayaan mereka dalam industri yang kian mencabar.
“Profesion kewartawanan hari ini membuktikan wanita mempunyai keupayaan untuk berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dalam industri yang semakin mencabar. Wanita dalam kewartawanan bukan sekadar menyampaikan berita tetapi membentuk naratif, mencabar persepsi dan mencorakkan masa depan.
“Wanita bukan sahaja mampu melaporkan sejarah tetapi juga mampu mencipta sejarah melalui kepimpinan, keberanian dan sumbangan mereka kepada masyarakat,” katanya kepada pemberita selepas majlis itu.
Beliau berkata kejayaan wanita dalam industri media tidak seharusnya diukur semata-mata berdasarkan jumlah penyertaan, sebaliknya sejauh mana peluang diberikan untuk memajukan diri, membuat keputusan dan menerajui perubahan.
“Saya percaya bahawa masa depan kewartawanan memerlukan lebih ramai wanita yang bukan sahaja berilmu dan berkemahiran tetapi juga berani, berprinsip dan mempunyai integriti.
“Kita tidak mahu wanita sekadar mendapat tempat di meja perbincangan. Kita mahu wanita turut mempunyai suara dalam menentukan keputusan dan hala tuju industri. Ini dapat kita saksikan dalam Majlis Media Malaysia serta organisasi dan syarikat media arus perdana negara,” katanya.
Nur-ul Afida berpengalaman lebih empat dekad dalam bidang kewartawanan, kepimpinan editorial dan pengurusan media strategik. Beliau memulakan kerjaya kewartawanan pada 1984 sebelum menyertai Bernama pada Januari 1985 sebagai pemberita kadet.
Sepanjang kerjayanya, beliau memegang pelbagai jawatan kanan editorial dan kepimpinan sebelum mencipta sejarah sebagai Ketua Pengarang wanita pertama Bernama pada Oktober 2023, diikuti pelantikan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif pada 27 Feb 2024.
Sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, Nur-ul Afida menerajui transformasi strategik Bernama menerusi pemerkasaan editorial, inovasi digital dan kemampanan organisasi, termasuk memacu penerapan kecerdasan buatan (AI) secara bertanggungjawab dalam bilik berita demi memelihara integriti kewartawanan.
-- BERNAMA