PUTRAJAYA, 14 Okt (Bernama) -- Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan menganjurkan Konvensyen Masjid Nusantara dan Anugerah Masjid Malaysia Peringkat Kebangsaan 2026 di sini esok, bagi memperkukuh peranan institusi masjid sebagai pusat ibadah, penyebaran ilmu dan pembangunan komuniti.
Ketua Pengarah JAKIM Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata konvensyen itu dijangka menghimpunkan 1,500 peserta, termasuk pemimpin dan pentadbir masjid, imam, agamawan, ilmuwan, wakil belia serta pertubuhan bukan kerajaan dari dalam dan luar negara.
Beliau berkata penglibatan wakil negara Nusantara diharap dapat memperluas jaringan kerjasama strategik serta membuka ruang perkongsian ilmu, pengalaman dan amalan terbaik dalam pengurusan serta pengimarahan masjid.
"Penganjuran konvensyen dan anugerah masjid ini antara inisiatif di bawah Belanjawan 2026 yang diumumkan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim), sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh institusi masjid dan syiar Islam di Malaysia," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sirajuddin berkata konvensyen itu akan mengetengahkan empat fokus perbincangan, iaitu transformasi pengurusan masjid, kreativiti dan inovasi program masjid, pembinaan generasi Belia MADANI serta masjid harmoni.
Beliau berkata antara pengisian utama ialah ucaptama oleh Tan Sri Abdul Rashid Hussain bertajuk Masjid Harmoni, Berakar Inovasi, Ummah Diberkati, manakala masjid yang mencapai kecemerlangan dalam aspek pengurusan, pengimarahan, prasarana dan persekitaran akan diiktiraf melalui Anugerah Masjid Malaysia Peringkat Kebangsaan 2026.
"Penganugerahan ini bukan sekadar meraikan pencapaian, malah diharap dapat menyemarakkan budaya kecemerlangan, menggalakkan inovasi serta mendorong penambahbaikan berterusan dalam kalangan institusi masjid di seluruh negara," katanya.
Sirajuddin berkata penganjuran program itu juga diharap dapat memperkukuh kerjasama serantau, menyemarakkan perkongsian ilmu dan meningkatkan penglibatan aktif golongan belia dalam pengimarahan masjid.
"Usaha ini penting bagi memastikan masjid terus berfungsi sebagai institusi yang menyatukan masyarakat, membina generasi berilmu dan berakhlak serta menjadi pemangkin kesejahteraan ummah," katanya.
Konvensyen itu akan berlangsung dari 8 pagi hingga 5 petang di Dewan Seri Siantan, Perbadanan Putrajaya dan dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan.
-- BERNAMA