Am 16/10/2026 06:17 PM

Seorang Anggota JPJ Maut, Tiga Cedera Dalam Kemalangan Tiga Kenderaan Di Lebuhraya PLUS

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Seorang Anggota JPJ Maut, Tiga Cedera Dalam Kemalangan Tiga Kenderaan Di Lebuhraya PLUS
Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

SEREMBAN, 16 Okt (Bernama) -- Seorang anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) maut, seorang lagi cedera parah manakala dua pemandu lori cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan termasuk kereta milik JPJ di Kilometer 256.1 arah utara Lebuhraya PLUS, berhampiran susur keluar Tol Senawang semalam.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad berkata dalam kejadian kira-kira 10.30 malam itu, mangsa lelaki yang juga pemandu kereta JPJ berusia 42 tahun, mengalami kecederaan di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Beliau berkata manakala seorang lagi rakan setugasnya berusia 32 tahun, turut mengalami kecederaan parah di kepala dan beberapa bahagian anggota badan, kini sedang menerima rawatan di zon merah Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS).

“Siasatan awal mendapati dua anggota JPJ Negeri Sembilan menaiki kereta rasmi jabatan itu sedang menjalankan pemeriksaan terhadap sebuah motoloader yang membawa muatan kabin di lorong kecemasan.

“Kemudian datang sebuah lori yang membawa muatan barangan makanan kering dari arah belakang didapati hilang kawalan dan gagal mengelak, sebelum merempuh bahagian belakang kereta JPJ serta motoloader yang berada di hadapan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Alzafny berkata akibat rempuhan itu pemandu lori dan motoloader, masing-masing lelaki berusia 44 dan 48 tahun mengalami kecederaan di bahagian kaki dan badan, serta sedang menerima rawatan di Unit Kecemasan HTJS dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian, diminta menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Syakinah Ahmad, menerusi talian 06-6033394 atau hadir ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

-- BERNAMA