Oleh Noornasrin Salsabila Othman
BACHOK, 14 Okt (Bernama) -- Pembinaan stesen bas di hab Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Kota Bharu menerusi Belanjawan 2027 dapat memperluas rangkaian pengangkutan awam di Kelantan, sekali gus memudahkan penumpang meneruskan perjalanan ke pelbagai destinasi di negeri ini.
Ahli Jawatankuasa Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Melayu Semenanjung Malaysia (PEMBAWA) Laili Ismail berkata kemudahan itu berpotensi meningkatkan penggunaan perkhidmatan bas, khususnya dalam kalangan penumpang ECRL yang memerlukan pengangkutan sambungan ke destinasi masing-masing.
Beliau berkata penyediaan stesen bas di lokasi sama juga dapat mengurangkan kebergantungan terhadap kenderaan persendirian, selain memudahkan pengguna meneruskan perjalanan tanpa perlu ke terminal berasingan.
“Kemudahan ini juga boleh memberi peluang kepada pengusaha bas untuk memperluas perkhidmatan, terutama bagi laluan yang mempunyai permintaan tinggi dalam kalangan pengguna,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Menurut beliau, pembinaan stesen bas baharu itu juga dijangka dapat mengurangkan kesesakan di terminal bas utama di Lembah Sireh, Kota Bharu terutamanya pada musim cuti dan waktu puncak.
“Ketika ini, terminal bas di Kota Bharu menerima kira-kira 150 perjalanan bas sehari pada hari biasa, iaitu Isnin hingga Khamis.
“Jumlah itu meningkat kepada 180 hingga 200 perjalanan sehari pada musim puncak, sekali gus menunjukkan keperluan untuk menyediakan kemudahan terminal tambahan bagi menampung pertambahan perkhidmatan bas,” katanya.
Bagaimanapun, Laili berkata penyelarasan jadual perjalanan bas dengan perkhidmatan ECRL perlu diberi perhatian bagi mengelakkan penumpang menunggu terlalu lama untuk mendapatkan pengangkutan sambungan.
Beliau berkata kemudahan asas seperti ruang menunggu yang selesa, kaunter tiket, kawasan mengambil dan menurunkan penumpang serta laluan keluar masuk bas yang teratur juga perlu diambil kira bagi memastikan operasi berjalan lancar.
Semasa membentangkan Belanjawan 2027 pada Jumaat lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pembinaan sebuah stesen bas di ECRL Kota Bharu, selain peruntukan RM270 juta bagi menambah baik perkhidmatan bas henti-henti di bandar-bandar utama, termasuk yang menghubungkan 15 stesen di Pantai Timur menjelang pengoperasian ECRL.
Sementara itu, seorang penduduk Ainy Md Yunos, 74, berkata penyediaan stesen bas berdekatan stesen ECRL akan memudahkan orang ramai, khususnya mereka yang tidak mempunyai kenderaan sendiri untuk meneruskan perjalanan sebaik tiba di Kota Bharu.
“Sekiranya turun daripada kereta api dan terus menaiki bas, ia lebih mudah. Kita tidak perlu meminta ahli keluarga datang mengambil atau mengeluarkan kos tambahan untuk mendapatkan pengangkutan lain,” katanya.
Muhammad Bukhari Ab Ghaffar, 30, pula berharap perkhidmatan bas yang disediakan kelak turut meliputi kawasan luar bandar supaya kemudahan ECRL dapat dimanfaatkan lebih ramai penduduk di Kelantan.
“Perkhidmatan bas sangat penting terutamanya semasa waktu puncak seperti perayaan. Jika ada bas yang menghubungkan stesen ECRL dengan kawasan luar bandar, ini dapat memudahkan penduduk untuk pulang ke kampung,” katanya.
-- BERNAMA