KUANTAN, 14 Okt (Bernama) -- Majlis Makan Malam ONEcharity dengan sokongan telco komuniti, redONE Mobile berjaya mengumpul lebih RM500,000 untuk disalurkan kepada lima Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di sini, sekali gus melepasi sasaran awal kutipan yang ditetapkan.
Inisiatif kutipan dana merangkumi jualan barangan eksklusif redONE Mobile dan tiket cabutan bertuah serta secara dalam talian mudah alih itu diketuai oleh Pengasas ONEcharity yang juga Ketua Pegawai Jualan Kumpulan redONE Mobile Ben Teh.
Ben dalam kenyataan berkata seiring dengan perubahan keperluan sekolah dan masyarakat, kaedah kutipan dana juga perlu terus berkembang.
“ONEcharity sedang meneroka pembangunan platform kutipan dana mudah alih bagi menjadikan sumbangan untuk pendidikan Cina pada masa hadapan lebih mudah, praktikal dan boleh diakses.
“Platform ini juga berpotensi menjadi penghubung antara masyarakat Cina Malaysia, komuniti perniagaan dan sekolah, sekali gus membantu membina sokongan yang lebih mampan untuk pendidikan,” katanya.
Ben turut merakamkan penghargaan kepada East Pahang Chinese Primary Schools Development Committee, lembaga pengarah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta pengetua, guru dan ibu bapa sekolah yang terlibat atas sumbangan mereka dalam menjayakan majlis itu.
Majlis itu menyediakan 108 meja tetamu bagi menyokong pendidikan Cina dengan hasil kutipan disalurkan kepada SJK(C) Semambu, SJK(C) Chung Ching, SJK(C) Kong Min, Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Tanah Putih dan Sekolah Menengah Chong Hwa Kuantan.
Pengerusi Kumpulan redONE Mobile dan Presiden Kehormat Tetap Huazong (Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia) Tan Sri Goh Tian Chuan berkata sumbangan berterusan redONE Mobile sejak lebih sedekad lepas bukan sahaja bertujuan memberikan sokongan secara langsung, malah menggalakkan lebih banyak syarikat dan organisasi masyarakat untuk turut menyumbang kepada pendidikan Cina.
Beliau berharap lebih banyak pihak tampil menganjurkan inisiatif kutipan dana dan penajaan bagi memastikan pendidikan Cina terus menerima sokongan berterusan.
Dalam kenyataan sama, Presiden Kehormat Tetap Huazong Tan Sri Fong Tian Sing berkata masyarakat berbilang kaum dan sistem pendidikan pelbagai aliran antara asas penting perpaduan negara dan menyeru semua pihak supaya terus menghormatinya.
Ditubuhkan pada 2015, inisiatif ONEcharity Chinese Education Charity Fundraising telah mengumpul lebih RM5 juta untuk menyokong 108 sekolah Cina di 11 negeri di Malaysia.
Dana itu bagi membantu sekolah menaik taraf kemudahan, melaksanakan kerja penyelenggaraan dan penambahbaikan serta menyokong aktiviti pendidikan, sekali gus meningkatkan persekitaran dan pengalaman pembelajaran murid.
-- BERNAMA