Am 14/10/2026 02:30 PM

Polis, MCMC Digesa Siasat Video Tular Dakwa Kaitkan DAP Dengan Sekolah Agama Etnik Rohingya

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Polis, MCMC Digesa Siasat Video Tular Dakwa Kaitkan DAP Dengan Sekolah Agama Etnik Rohingya

MELAKA, 14 Okt (Bernama) -- Polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) digesa menyiasat segera satu video tular, yang didakwa mengaitkan penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Laksamana Low Chee Leong dan DAP dengan sebuah sekolah agama untuk komuniti Rohingya di Melaka.

Low berkata dakwaan bahawa dirinya dan DAP bersubahat serta melindungi sekolah berkenaan sebagai fitnah yang mencemarkan nama baik parti itu, Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong dan dirinya.

“Untuk itu, saya telah meminta pembantu saya Tan Chin Gwan membuat laporan polis di Balai Polis Tengkera pagi ini, bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya serta untuk melindungi reputasi saya.

“Ini adalah satu tohmahan dan juga fitnah yang dilemparkan kepada DAP, saya dan juga Khoo selaku Ahli Parlimen Kota Melaka,” katanya pada sidang media di Balai Polis Tengekera, di sini hari ini.

Beliau mendakwa penyebaran video berkenaan menerusi akaun Facebook Steven Lee turut mengaitkan sekolah yang terletak di Pengkalan Rama Pantai itu dengan DAP dan menyifatkan tindakan berkenaan sebagai tidak wajar, khususnya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Low berkata dalam kapsyen video berdurasi selama 45 saat yang ditularkan dalam Facebook tersebut sekitar 8.35 pagi ini dan ditonton lebih kurang 462 orang itu, ia mengatakan bangunan tersebut merupakan sekolah agama etnik Rohingya DAP dan bersubahat melindunginya.

“Saya tegaskan DAP tidak mempunyai bidang kuasa untuk menubuhkan atau menjalankan aktiviti sekolah agama, kerana perkara berkaitan penguatkuasaan agama di negeri ini terletak di bawah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM).

“Jadi laporan polis dibuat bagi memastikan dakwaan yang tular itu disiasat secara menyeluruh, terutama kerana ia menyentuh isu 3R, iaitu agama, kaum dan institusi diraja dan dalam masa yang sama mahu JAIM mengambil tindakan berhubung perkara itu, mengikut bidang kuasa jabatan berkenaan,” katanya.

Low berkata pihaknya memang mengetahui mengenai bangunan tersebut dan isu penggunaannya oleh etnik Rohingya itu bukan perkara baharu, kerana pernah dibangkitkan beberapa kali ketika beliau memegang jawatan sebagai ADUN dan dibawa dalam mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Pengkalan Pantai.

Beliau berkata laporan daripada mesyuarat JPKK tersebut turut dihantar kepada pejabat daerah untuk tindakan pihak berkaitan.

-- BERNAMA