Oleh Mohd Khairi Idham Amran dan Amiril Muttaqien Meketar
KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Penyediaan pakej lengkap merangkumi sokongan pascalatihan dan pemberian kit permulaan perniagaan dilihat sebagai formula baharu bagi memastikan peruntukan RM8 bilion bagi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) merentas kementerian menerusi Belanjawan 2027 benar-benar berkesan dalam membasmi kemiskinan.
Langkah itu disifatkan mampu mengubah fungsi TVET daripada sekadar platform melatih modal insan kepada instrumen transformasi sosioekonomi yang mampu membantu golongan B40 keluar daripada kitaran kemiskinan.
Pensyarah Kanan Jabatan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Termaju, Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi (FEST) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Dr Khairul Anuar Abdul Rahman berkata intervensi berkenaan perlu merangkumi latihan kemahiran, pensijilan industri, penyediaan peralatan, inkubasi perniagaan dan bimbingan berterusan supaya peserta dapat memanfaatkan kemahiran yang diperoleh untuk mendapatkan pekerjaan atau memulakan perniagaan sendiri.
Mengambil inisiatif UTM sebagai contoh, beliau berkata universiti itu melaksanakan projek Pemerkasaan Ekonomi Belia B40 Melalui Latihan Servis dan Penyelenggaraan Sistem Penyamanan Udara di Program Perumahan Rakyat (PPR) Melana Indah yang menyasarkan 20 belia B40 menganggur atau pekerja sektor ekonomi gig.
“Peserta bukan sahaja dilatih dalam kemahiran teknikal dan dinilai bagi memperoleh Sijil Kompetensi Industri, malah turut dibekalkan kit permulaan menerusi pendekatan sistem rakan, iaitu perkongsian peralatan secara berpasangan.
“Pendekatan ini penting kerana antara cabaran utama golongan B40 bukan hanya kekurangan kemahiran, tetapi juga ketiadaan modal dan peralatan untuk memulakan pekerjaan atau perniagaan sendiri,” katanya kepada Bernama.
Khairul Anuar berkata projek selama 18 bulan itu turut menyediakan bimbingan teknikal, pengurusan pelanggan dan aktiviti khidmat masyarakat, dengan sasaran sekurang-kurangnya 80 peratus peserta mencapai kompetensi serta 70 peratus berjaya menjana pendapatan sendiri.
Menurut beliau, model latihan berasaskan pendekatan Quadruple Helix yang melibatkan universiti, kerajaan tempatan, industri dan komuniti itu berpotensi diperluas kepada sektor lain, termasuk perkhidmatan penjagaan warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU).
Sementara itu, Profesor Madya di jabatan sama Prof Madya Dr Mohd Safarin Nordin berkata keberkesanan peruntukan RM8 bilion itu bukan hanya bergantung kepada jumlah dana disalurkan, tetapi juga mekanisme pelaksanaan bagi memastikan latihan ditawarkan memenuhi keperluan industri.
“Dari sudut penyelidikan dan amalan TVET, keberkesanan peruntukan ini bukan sekadar bergantung kepada jumlah dana yang disalurkan, tetapi sejauh mana mekanisme pelaksanaannya dapat merapatkan jurang kemahiran antara institusi latihan dan industri,” katanya.
Beliau berkata empat elemen kritikal perlu diberi fokus merangkumi transformasi kurikulum berteraskan industri, penyelarasan merentas kementerian menerusi Majlis TVET Negara (MTVET), serta fokus peruntukan RM3 bilion Human Resource Development Corporation (HRD Corp) terhadap kemahiran masa depan seperti automasi dan kecerdasan buatan (AI).
Kedua-dua pakar bersetuju bahawa petunjuk prestasi utama (KPI) TVET tidak lagi boleh diukur menerusi peratusan graduan atau bilangan sijil semata-mata, sebaliknya penilaian pulangan pelaburan (ROI) perlu berteraskan kadar kebolehpasaran, peningkatan gaji permulaan, serta kelangsungan kerjaya jangka panjang.
Dalam pembentangan Belanjawan 2027, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan TVET rentas kementerian berjumlah RM8 bilion untuk meningkatkan kemahiran serta kebolehpasaran dalam kalangan anak muda.
Peruntukan tersebut antara lain melibatkan dana kepada HRD Corp berjumlah RM3 bilion, yang menawarkan tiga juta peluang latihan kemahiran termasuk bagi tujuan pembangunan profesional berterusan dalam kalangan golongan profesional.
-- BERNAMA