Ekonomi 14/10/2026 12:19 PM

Kerajaan Sasar Bentang Undang-Undang Anti 'Rent-Seeking' Pada 2027

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Kerajaan Sasar Bentang Undang-Undang Anti 'Rent-Seeking' Pada 2027
Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir

KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Kerajaan menyasarkan penggubalan undang-undang baharu atau pindaan kepada perundangan berkaitan bagi membanteras amalan ‘rent-seeking’ dan fenomena Ali Baba untuk dibentangkan di Parlimen pada 2027, kata Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Beliau berkata kajian sedang dijalankan bagi menilai keperluan mewujudkan kerangka kawal selia dan perundangan yang dapat mentakrifkan amalan berkenaan sebagai satu kesalahan memandangkan amalan menjual lesen atau fenomena Ali Baba ketika ini tidak ditakrifkan secara khusus sebagai kesalahan.

“Cabarannya adalah ketika ini, amalan untuk menjual lesen ataupun secara Ali Baba ini tidak ditarifkan sebagai satu kesalahan jenayah.

“Oleh sebab itu, keperluan kita menilai bahawa anti 'rent-seeking' ini adalah satu akta yang sangat penting untuk membolehkan perkara itu ditakrifkan sebagai satu kesalahan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Salamiah Mohd Nor (PN-Temerloh) mengenai langkah kerajaan menutup ruang ‘rent-seeking’ serta keberkesanan akta berkaitan dalam menangani rasuah dalam kalangan penjawat awam dan ahli politik.

Terdahulu, menjawab soalan Syahredzan Johan (PH-Bangi) mengenai perkembangan penggubalan rang undang-undang berkaitan anti ‘rent-seeking’ dan garis masa pembentangannya di Parlimen, Akmal Nasrullah berkata kajian itu mengambil kira pandangan pemain industri, agensi penguatkuasaan, kementerian berkaitan, kerajaan negeri dan pihak berkepentingan lain.

Katanya skop cadangan kawal selia itu merangkumi pembangunan dasar, strategi dan inisiatif yang lebih menyeluruh bagi menangani amalan berkenaan secara berkesan dengan proses penggubalan perundangan memerlukan penelitian mendalam bagi memastikan setiap cadangan praktikal dan boleh dilaksanakan.

Beliau berkata amalan ‘rent-seeking’ meskipun dilakukan secara sukarela dan dipersetujui kedua-dua pihak, ia boleh melemahkan keupayaan dan menjejaskan daya saing perniagaan tempatan, selain tidak mencerminkan kekuatan sebenar pasaran dan keupayaan peniaga tempatan.

“Kerajaan komited untuk membanteras amalan 'rent-seeking' kerana ia boleh menjejaskan kecekapan pasaran, mewujudkan persaingan yang tidak adil serta membantutkan pertumbuhan produktiviti negara,” katanya.

Beliau berkata kajian Kementerian Ekonomi mendapati antaranya amalan ‘rent-seeking’ berupaya menjejaskan kecekapan sosioekonomi negara akibat ketirisan dalam pemberian lesen, kontrak, kemudahan dan sebagainya.

-- BERNAMA