Am 14/10/2026 09:57 AM

KPJ Healthcare Perkenal Kolonoskopi Dibantu AI Di JSH, Sokong Kesan Kanser Kolorektal

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
KPJ Healthcare Perkenal Kolonoskopi Dibantu AI Di JSH, Sokong Kesan Kanser Kolorektal
Johor Specialist Hospital Kredit: KPJ Healthcare Berhad

JOHOR BAHRU, 13 Okt (Bernama) -- KPJ Healthcare Berhad memperkenalkan prosedur kolonoskopi dengan bantuan kecerdasan buatan (AI) di Johor Specialist Hospital (JSH) di sini, bagi menyokong pengesanan awal kanser kolorektal.

JSH menjadi hospital pertama dalam rangkaian KPJ Healthcare di seluruh negara menggunakan sistem ENAD (Peranti Endoskopi AI) yang dibangunkan syarikat teknologi perubatan Korea Selatan, Ainex Corporation, sekali gus memperkukuh keupayaan saringan dan diagnosis kanser berkenaan.

KPJ Healthcare dalam kenyataan hari ini memaklumkan sistem itu beroperasi menggunakan peralatan kolonoskopi Olympus sedia ada di JSH bagi menganalisis imej secara masa nyata, sekali gus membantu pakar mengenal pasti keabnormalan termasuk lesi kecil atau leper yang sukar dikesan melalui pemeriksaan biasa.

Menurut kenyataan itu, ENAD menggabungkan teknologi Pengesanan Berbantukan Komputer (CADe) dan Diagnosis Berbantukan Komputer (CADx) bagi membantu pakar mengesan kawasan yang memerlukan pemeriksaan lanjut serta menilai ciri-ciri polip, iaitu ketumbuhan pada lapisan dalam kolon.

“Sesetengah polip boleh berkembang menjadi kanser dari semasa ke semasa, justeru pengesanan dan penilaian pada peringkat awal amat penting bagi membantu mencegah perkembangan penyakit berkenaan,” menurut kenyataan itu.

Pegawai Pimpinan KPJ Healthcare Profesor Datuk Dr Hanafiah Harunarashid berkata pengenalan ENAD di JSH merupakan perkembangan penting dalam usaha kumpulan itu memanfaatkan teknologi AI bagi meningkatkan kualiti penjagaan pesakit.

Beliau berkata penggunaan teknologi berkenaan memberikan sokongan tambahan kepada pakar dalam membuat keputusan klinikal, khususnya bagi pengesanan dan penilaian awal keabnormalan ketika prosedur kolonoskopi dijalankan.

“Keutamaan kami ialah menerapkan AI yang boleh menyokong keputusan klinikal dan meningkatkan kualiti penjagaan.

“Hal ini bermakna kami perlu memilih teknologi yang memenuhi keperluan klinikal khusus bagi memastikan penggunaannya secara bertanggungjawab serta mengekalkan standard yang diharapkan pesakit,” katanya.

Sementara itu, Pakar Perunding Perubatan Dalaman, Gastroenterologi dan Hepatologi JSH Dr Abraham Mathew George berkata sesetengah keabnormalan pada kolon sukar dibezakan daripada tisu sekeliling, terutama apabila bersaiz kecil atau rata.

Beliau berkata maklumat visual tambahan yang disediakan ENAD membolehkan pakar memberikan perhatian lebih terperinci terhadap kawasan tertentu ketika pemeriksaan dijalankan.

“AI tidak menggantikan kepakaran atau pertimbangan pakar endoskopi, sebaliknya menyokong penilaian klinikal dan keputusan sama ada pemeriksaan lanjut, rawatan atau tindakan susulan diperlukan,” katanya.

Menurut Pelan Strategik Kebangsaan bagi Kanser Kolorektal 2021-2025 yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan, kanser kolorektal merupakan kanser kedua paling kerap berlaku di Malaysia dengan kira-kira 70 peratus pesakit didiagnosis pada tahap III atau IV.

Pemeriksaan kolonoskopi membolehkan pakar memeriksa lapisan dalam kolon serta membuang polip sebelum ia berkembang menjadi kanser.

Pengenalan ENAD itu juga selaras dengan strategi jangka panjang KPJ Healthcare melalui KPJ Health System yang mengintegrasikan aspek amalan, pendidikan serta penyelidikan dan inovasi, selain memperkukuh penggunaan teknologi bagi menyokong keputusan klinikal dan meningkatkan kualiti penjagaan pesakit.

-- BERNAMA