Pasaran LNG Dijangka Kekal Terhad Pada 2027 Susulan Ketidaktentuan Geopolitik - Petronas
Daripada Siti Radziah Hamzah
GEOJE ISLAND (Korea Selatan), 25 Nov (Bernama) -- Petroliam Nasional Bhd (Petronas) menjangkakan pasaran gas asli cecair (LNG) global kekal terhad hingga 2027, dengan perkembangan geopolitik serta kadar pemulihan dijangka terus mempengaruhi ketersediaan bekalan dan harga pasaran.
Naib presiden eksekutif dan ketua pegawai eksekutif perniagaan gas dan maritim Petronas Datuk Adif Zulkifli berkata prospek tersebut terus bergantung kepada beberapa faktor, termasuk tempoh konflik di Asia Barat serta sepantas mana kapasiti bekalan gas asli cecair (LNG) yang terjejas kembali semula ke pasaran.
“Memandangkan impaknya terhadap bekalan LNG, kami menjangkakan proses pemulihan akan mengambil masa.
“Tahun depan kami menjangkakan keadaan pasaran kekal terhad, yang mungkin terus menyokong harga LNG sehingga lebih banyak bekalan tersedia,” katanya kepada pemberita semasa taklimat media yang diadakan bersempena dengan majlis merasmikan nama kemudahan LNG terapung ketiga Petronas, PFLNG Tiga, di sini, pada Isnin.
Adif berkata keseimbangan antara penawaran dan permintaan mungkin dapat dicapai secara beransur-ansur apabila pengeluaran yang terjejas pulih dan bekalan LNG tambahan memasuki pasaran.
Perkembangan geopolitik terkini telah mengukuhkan lagi nilai portfolio LNG Petronas yang pelbagai dan bersepadu, membolehkan syarikat tersebut menawarkan pilihan bekalan yang lebih luas serta daya tahan kepada pelanggan semasa tempoh gangguan pasaran.
Petronas terus mengimbangi bekalan daripada pengeluaran sendiri dengan penyumberan daripada pihak ketiga, di samping mengekalkan gabungan perjanjian komersial jangka panjang dan jangka pendek bagi menyokong fleksibiliti portfolio serta keperluan pelanggan.
Syarikat itu juga sedang memperluas penyediaan bekalannya merentasi pelbagai wilayah geografi, melengkapi kedudukan kukuhnya di rantau Asia-Pasifik serta membantu meningkatkan daya tahan merentasi portfolio gas asli cecairnya.
Adif berkata kepelbagaian lokasi pengeluaran dan bekalan menyediakan lebih banyak pilihan kepada Petronas untuk bertindak balas terhadap gangguan pasaran, di samping terus memenuhi komitmen kontrak kepada pelanggan.
-- BERNAMA