Kerajaan Laksana Pelbagai Usaha Capai Harga Getah Rm5 Sekilogram Di Peringkat Ladang
KUALA LUMPUR, 24 Nov (Bernama) -- Kerajaan akan terus berusaha merealisasikan sasaran harga getah RM5.00 sekilogram di peringkat ladang melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif dan program yang bersesuaian serta berterusan.
Menurut Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK), ia bertujuan meningkatkan produktiviti, memperkukuh permintaan getah domestik, meningkatkan pendapatan dan kesejahteraan pekebun kecil bagi memastikan kemampanan industri getah negara.
“Sasaran harga getah peringkat ladang mencecah RM5.00 sekilogram menjelang 2027 merupakan aspirasi kerajaan MADANI dalam usaha meningkatkan pendapatan pekebun kecil.
“Bagaimanapun, usaha untuk mencapai sasaran tersebut turut bergantung pada perkembangan pasaran global yang berada di luar kawalan langsung kerajaan,” menurut kementerian itu dalam jawapan bertulis yang disiarkan dalam laman sesawang Parlimen hari ini.
KPK menjawab soalan Muhammad Ismi Mat Taib (PN-Parit) yang ingin mengetahui garis masa dan pelan tindakan konkrit kementerian untuk merealisasikan sasaran harga minimum getah peringkat ladang hingga mencecah RM5 sekilogram menjelang 2027.
Menurut KPK, harga getah asli bersifat tidak menentu dan dipengaruhi oleh faktor penawaran dan permintaan di pasaran global.
Oleh itu, kerajaan melalui Lembaga Getah Malaysia (LGM) sentiasa memantau perkembangan harga dan menerbitkan harga rujukan getah di peringkat ladang berdasarkan urusniaga di lokasi-lokasi terpilih di seluruh Semenanjung Malaysia.
KPK memaklumkan bahawa pekebun kecil berpotensi memperoleh harga jualan getah di peringkat ladang yang lebih tinggi sekiranya kadar kandungan getah kering (KGK) melebihi 50 peratus tertakluk pada harga pasaran semasa.
Menurut kementerian itu lagi, sebagai pembeli utama, Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) melaksanakan pembelian getah secara terus daripada pekebun kecil dengan kutipan lazimnya dilakukan setiap dua minggu.
Tempoh pengumpulan tersebut turut menyumbang kepada peningkatan kadar KGK melalui pengurangan kandungan air, sekali gus membolehkan pekebun kecil menikmati harga jualan yang lebih tinggi.
“Sebagai ilustrasi, sekiranya harga rujukan getah bagi KGK 50 peratus ialah RM4.20 sekilogram, peningkatan KGK kepada 60 peratus berpotensi meningkatkan harga jualan kepada RM5.04 sekilogram, berdasarkan pengiraan berkadar terus mengikut kandungan getah kering,” katanya.
-- BERNAMA