AirBorneo Lancar Penerbangan Kuching-Jakarta, Tambang Bermula RM399
KUCHING, 31 Okt (Bernama) -- Syarikat penerbangan milik kerajaan negeri Sarawak, AirBorneo hari ini secara rasmi membuka jualan tiket bagi laluan terus baharunya yang menghubungkan Kuching dengan ibu negara Indonesia, Jakarta bermula 13 November.
Laluan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta itu akan beroperasi tiga kali seminggu pada Isnin, Jumaat dan Ahad dengan tambang sehala termasuk semua caj bermula RM399 bagi Kelas Ekonomi dan RM888 bagi Kelas Perniagaan.
Penerbangan pertama (MY 396) pada 13 November akan berlepas dari Kuching pada 3.10 petang manakala penerbangan pulang (MY 397) dari Jakarta berlepas pada 4.55 petang waktu tempatan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Megat Ardian Aminuddin berkata laluan baharu itu menandakan pencapaian penting dalam usaha memperluas rangkaian penerbangan serantau syarikat penerbangan itu merentasi pintu masuk utama di ASEAN.
“Perkhidmatan penerbangan terus ke pusat perdagangan Indonesia itu akan memudahkan urusan perjalanan pemimpin perniagaan, pelabur dan delegasi rasmi antara Malaysia dengan Indonesia.
“Perkhidmatan ini juga memberikan kemudahan perjalanan yang lebih selesa kepada pesakit dan keluarga untuk mendapatkan rawatan pakar di Sarawak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Megat Ardian laluan penerbangan itu turut memenuhi keperluan pelancong dari kedua-dua destinasi apabila pelawat dari Indonesia berpeluang meneroka hutan hujan, budaya dan festival di Borneo manakala penduduk dari Borneo dapat menikmati pelbagai tarikan yang ditawarkan Jakarta.
Seiring dengan pelancaran laluan ke Jakarta, AirBorneo turut menyelaraskan kekerapan penerbangan serantaunya sebagai sebahagian daripada jadual rangkaian penerbangan pesawat jet bagi musim sejuk Utara 2026/27 yang lazimnya bermula 25 Oktober hingga 27 Mac tahun depan.
Ini termasuk perkhidmatan penerbangan Kuching-Singapura sebanyak empat kali seminggu sejak 23 Oktober pada Selasa, Rabu, Khamis dan Sabtu manakala perkhidmatan utama Kuching-Kuala Lumpur yang beroperasi dua kali sehari diteruskan mengikut jadual.
Di bawah jadual penerbangan musim sejuk itu, penerbangan dari Kuching ke Singapura berlepas pada 7.35 malam (MY 0385) dan penerbangan pulang dari Lapangan Terbang Changi pada 10 malam (MY 0386) manakala penerbangan petang MY 5004 kini berlepas dari Kuala Lumpur pada 3.40 petang.
“Penumpang yang mempunyai tempahan bagi penerbangan ke Singapura yang terjejas telah dihubungi secara terus dan ditawarkan pilihan untuk membuat tempahan semula,” menurut syarikat penerbangan itu.
Penumpang boleh mula menempah tiket ke Jakarta bermula hari ini menerusi aplikasi mudah alih rasmi AirBorneo, laman web syarikat penerbangan itu di www.airborneo.com atau pejabat jualan tiketnya di lapangan terbang.
-- BERNAMA