BERITA TERKINI   Institusi pondok berperanan sebagai benteng pertahankan akidah, akhlak, sahsiah dan adab - PM Anwar | Istiadat Menjunjung Duli dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Selangor esok ditangguhkan ke 7 Nov - Istana Alam Shah | Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah gering akibat jangkitan Influenza A - Istana Alam Shah | Liga Super: Sabah FC 2-0 Terengganu FC | Isu kesihatan mental kanak-kanak perlu diberi perhatian serius - PM Anwar | 

​JS-SEZ: Perak Jadi Lokasi Cadangan Pelancaran Pelan Induk Sempena Pemukiman Pemimpin Tahunan

​JOHOR BAHRU, 31 Okt (Bernama) -- Kerajaan sedang meneliti lokasi rasmi bagi majlis pelancaran Pelan Induk Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), dengan Perak menjadi antara destinasi yang dipertimbangkan sempena ‘Pemukiman Pemimpin Tahunan’ kedua-dua negara itu yang dijadualkan 4 Disember ini.

​Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata majlis pelancaran pelan induk terbabit telah dipersetujui untuk disaksikan secara bersama oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong.

​"Antara perkara yang telah dipersetujui bahawa pelancaran dokumen pelan induk itu akan disaksikan oleh Perdana Menteri Singapura dan Perdana Menteri Malaysia. Jadi perkara itu juga kita akan memuktamadkan dari segi lokasi kerana dari segi Pemukiman Pemimpin Tahunan untuk tahun ini dijangkakan diadakan di Ipoh.

Ad Banner
Ad Banner

​"Sama ada pelancaran itu akan diadakan di sana ataupun bagaimana pengaturan yang lain, tetapi yang dipersetujui bahawa majlis itu akan disaksikan oleh kedua-dua Perdana Menteri," katanya pada sidang media selepas program Sambutan Deepavali Parlimen Johor Bahru di Rumah Pangsa Serantau Baru, Larkin di sini hari ini.

​Mengulas persediaan mesyuarat dua hala pada Isnin ini di Singapura, Akmal Nasrullah memaklumkan Singapura akan bertindak sebagai tuan rumah.

​Mesyuarat berkenaan merupakan detik penting memandangkan ia julung kali diadakan di bawah struktur Jawatankuasa Menteri Kerjasama Johor-Singapura (JSCMC), katanya.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

​Beliau dijadualkan mengetuai delegasi Malaysia bersama Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi, manakala delegasi Singapura dipimpin oleh Menteri Pembangunan Negara Chee Hong Tat.

​"Di peringkat Malaysia, kita melihat peluang untuk kita, pertama untuk menilai tahap kemajuan, perkembangan dari segi usaha JS-SEZ ini dan juga melihat perancangan ke hadapan," katanya.

​Beliau berkata kerangka program serta aspek logistik bagi Pemukiman Pemimpin Tahunan sedang diperhalusi untuk memastikan impak optimum susulan pelancaran pelan induk berkenaan.

​Mengulas mengenai program hari ini, Akmal Nasrullah berkata peruntukan keseluruhan berjumlah RM318,000 telah disalurkan bagi memperkasa kesejahteraan komuniti di Parlimen Johor Bahru sempena sambutan Deepavali.

​Beliau menyempurnakan penyerahan peruntukan bernilai RM260,000 menerusi Program Respons Infrastruktur dan Sosial MADANI (PRISMA) di bawah Pejabat Perdana Menteri bagi kerja-kerja baik pulih susur tangan di Rumah Pangsa Serantau Baru, Larkin.

​Menurutnya, inisiatif itu bertujuan meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan penduduk, terutamanya bagi golongan warga emas, kanak-kanak dan mereka yang memerlukannya.

​Selain itu, sebanyak RM47,500 turut diagihkan bagi tujuan menaik taraf rumah ibadat masyarakat India, manakala RM10,500 disumbangkan kepada empat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan untuk menyokong program kebajikan, kebudayaan dan pembangunan komuniti.

​-- BERNAMA