Pasaran Getah Dijangka Meningkat Minggu Hadapan Susulan Bekalan, Permintaan Stabil
Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin
KUALA LUMPUR, 31 Okt (Bernama) -- Pasaran getah Kuala Lumpur dijangka menunjukkan trend meningkat pada minggu hadapan, disokong oleh bekalan dan permintaan yang stabil menjelang musim monsun.
Pakar industri Denis Low berkata sebarang lebihan bekalan akan dapat diserap dengan mudah melalui aktiviti penambahan stok secara berperingkat menjelang ketibaan Monsun Timur Laut yang dijangka bermula pada penghujung November.
“Jabatan Meteorologi Thailand (TMD) meramalkan hujan lebat di 12 wilayah dan ribut petir di beberapa tempat dan hujan lebat di wilayah Selatan.
“Bagi Malaysia pula, jabatan meteorologi memberi amaran mengenai ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di beberapa kawasan di negara ini,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, Low berkata meskipun terdapat ketidaktentuan geopolitik, keadaan dalam sektor getah kekal seimbang, walaupun hujan lebat berselang-seli dan ribut petir yang tidak menentu mungkin berlaku.
Bagaimanapun, beliau berkata keadaan cuaca itu tidak membimbangkan kerana lazimnya berlaku pada sebelah petang dan tidak menjejaskan aktiviti menoreh getah pada awal pagi.
“Hasil torehan ketika ini baik dan bekalan mampu memenuhi keperluan untuk menambah semula stok dan permintaan adalah seperti biasa,” katanya.
Beliau menambah permintaan yang lebih kukuh dari Eropah terhadap getah yang mematuhi Peraturan Penyahhutanan Kesatuan Eropah (EUDR) telah memberikan sedikit sokongan kepada harga, walaupun kesannya masih terhad kerana keperluan itu hanya terpakai bagi pasaran Eropah.
Bagi asas Jumaat ke Jumaat, harga rujukan Lembaga Getah Malaysia (LGM) untuk Getah Mutu Malaysia 20 (GMM 20) turun lima sen kepada 994.0 sen sekilogram, manakala harga lateks pukal susut 7.5 sen kepada 787.50 sen sekilogram.
-- BERNAMA