Anwar Tegur Pihak Cepat Menghukum, Tegaskan Belanjawan 2027 Angkat Syiar Islam
PUTRAJAYA, 28 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Belanjawan 2027 dirangka untuk terus mengangkat syiar Islam termasuk melalui pendekatan khusus memperkukuh institusi pengajian pondok di seluruh negara.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan mendapatkan pandangan ulama dan guru agama dalam merangka belanjawan itu bagi memastikan keperluan pembangunan Islam diberikan perhatian sewajarnya.
Justeru, beliau menegur tindakan segelintir pihak yang melabel individu dan Belanjawan 2027 dibentangkan Kerajaan MADANI sebagai “munafik”.
“Nak lakar Belanjawan 2027, ditanya apakah yang lebih baik untuk Islam, apa lagi nak tambah? Dahulu kita tinggalkan institusi pondok dan pesantren (kini) kita bina semula.
“Dulu kita ketepikan syeikh-syeikh dan guru-guru agama serta tuan-tuan guru, (sekarang) kita panggil, minta pandangan,” kata beliau ketika berucap pada Majlis Ilmu MADANI di Kompleks Seri Perdana di sini, yang menampilkan pendakwah terkenal dari Indonesia Ustaz Dr Abdul Somad Batubara sebagai tetamu.
Turut hadir isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan, dan Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Westar Group Tan Sri Dr Syed Azman Syed Ibrahim.
Anwar mengakui sedikit “kecewa” dengan perkara itu, namun tetap bersabar dan menyifatkannya sebagai masalah sistemik.
“Bila dibahas di Parlimen, dia kata ini pemimpin munafik dan belanjawannya munafik. Ustaz Abdul Somad kalau saya tanya dia, "Sabar, Pak." Hati menggelegak tetapi sebenarnya saya sabar, saya tak jawab.
“Cuma saya nak beritahu, ini hanya simptomatik of the real problem (gambaran masalah sebenar) ... those who profess Islam (mereka yang mengaku Islam), dia tidak membantu, dia tidak memberikan contoh yang baik dari segi akhlak, peribadi, kesederhanaan dan toleransi,” katanya.
Sebelum ini, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul mengarahkan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) menarik balik perkataan "munafik" yang digunakannya ketika perbahasan.
Sementara itu, Perdana Menteri merakamkan penghargaan kepada Abdul Somad atas kesudian berkongsi ilmu pengetahuan pada Majlis Ilmu MADANI, dan teguran pendakwah itu sentiasa diberi perhatian untuk mengangkat Malaysia menjadi lebih baik.
“Ustaz Abdul Somad sekarang ini memang seorang tokoh, tetapi juga dalam beberapa hal kontroversial kerana tegurannya itu berani dan kadang-kadang tajam.
“Tajamnya itu sampai ke semua penguasa termasuk di Malaysia, tetapi dalam pengalaman kita mengenai soal tatakelola dan tatacara ini, terima baik teguran-teguran dan kita cuba perbaiki,” katanya.
-- BERNAMA