LPT3 Dilaksana Secara PPP, Kos Ditanggung Pembida Berjaya - Nanta
KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) -- Projek Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3) sepanjang 122 kilometer akan dilaksanakan secara penswastaan menerusi kaedah Kerjasama Awam Swasta (PPP) - Bidaan Bersaing atau Request For Proposal (RFP), dengan kos pembangunan ditanggung sepenuhnya oleh pembida yang berjaya.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata cadangan jajaran yang bermula di Kampung Gemuruh, Terengganu hingga Tunjong, Kelantan itu bakal menjadi pelengkap kepada rangkaian LPT1 dan LPT2 dalam menghubungkan Pahang, Terengganu serta Kelantan.
Beliau berkata Penyataan Keperluan Projek (SON) bagi lebuh raya berkenaan telah diserahkan kepada Unit Kerjasama Awam Swasta, Jabatan Perdana Menteri untuk penyediaan dokumen RFP sebelum dikemukakan kepada Jemaah Menteri untuk pertimbangan dan keputusan.
“Kini, cadangan ini masih pada peringkat penyediaan dokumen RFP oleh UKAS JPM,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2027 (Belanjawan 2027) Peringkat Dasar bagi Kementerian Kerja Raya (KKR) di Dewan Rakyat, hari ini.
Mengulas keutamaan semasa kerajaan, Nanta berkata tumpuan ketika ini adalah memastikan projek Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (LTU) dan Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai (KBKK) berjalan lancar dan disiapkan mengikut jadual.
Bagi projek KBKK sejauh 70.4 kilometer, beliau berkata kemajuan fizikal keseluruhan kini mencecah 78.80 peratus dengan jajaran Pasir Hor ke Kadok telah siap sepenuhnya, manakala baki lima lagi pakej sedang dibina dan dijangka siap pada 2027.
Menyentuh projek LTU di Kelantan yang membabitkan 10 subpakej bernilai RM3.08 bilion dari Kuala Krai ke Gua Musang, Nanta berkata jajaran berkenaan dijangka siap sepenuhnya menjelang 2028.
Mengenai kelewatan LTU Pakej 3 bagi Seksyen 3B dan 3C, beliau berkata pelantikan kontraktor penyiap kini berada pada fasa akhir perolehan.
“Pelantikan kontraktor penyiap bagi Pakej 3: Seksyen 3B & 3C adalah pada peringkat akhir proses perolehan dan pengeluaran Surat Setuju Terima disasarkan pada pertengahan November 2026, tertakluk kepada kelulusan daripada Kementerian Kewangan.
“Pelantikan kontraktor penyiap ini membolehkan kerja-kerja pembinaan disambung semula bagi memastikan baki kerja dapat disiapkan mengikut jadual baharu yang ditetapkan,” katanya.
Sementara itu, mengenai Lebuhraya Pan Borneo Sabah sepanjang 706 kilometer yang merangkumi 35 pakej kerja, Nanta berkata sebanyak empat pakej kerja telah siap, manakala baki 31 pakej disasarkan selesai secara berperingkat menjelang 2030.
Beliau berkata status kemajuan fizikal bagi Fasa 1A telah mencapai 89.54 peratus, manakala Fasa 1B mencatatkan kemajuan 25.53 peratus.
Untuk 2027, KKR menerima Belanja Mengurus sebanyak RM1.146 bilion (peningkatan 5.6 peratus) dan Belanja Pembangunan berjumlah RM9.736 bilion (meningkat 3.0 peratus berbanding RM9.607 bilion pada 2026).
-- BERNAMA