BERITA TERKINI   Liga Super: Sabah FC 2-0 Terengganu FC | Isu kesihatan mental kanak-kanak perlu diberi perhatian serius - PM Anwar | Malaysia, Thailand muktamad rundingan lebarkan muara Sungai Golok dalam tempoh sebulan - PM Anwar | ADUN Mata Ayer Wan Badariah Wan Saad meninggal dunia pada 4.26 petang ini di Kangar - Ketua Penerangan PAS Perlis | 

Matrix Concepts Peroleh Tanah 174.77 Hektar Di Kulai Pada Harga RM169.31 Juta

KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) -- Anak syarikat Matrix Concepts Holdings Bhd, Matrix Concepts (Southern) Sdn Bhd, memeterai perjanjian jual beli (SPA) berasingan untuk memperoleh 57 lot tanah berkeluasan 174.77 hektar di Kulai, Johor, pada harga RM169.31 juta secara tunai.

Perjanjian itu dimeterai dengan pemilik tanah yang terdiri daripada syarikat dan individu, serta wasi harta pusaka pemilik tanah yang telah meninggal dunia.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Matrix Concepts memaklumkan cadangan pengambilalihan itu akan memperluas simpanan tanah sedia ada kumpulan, menyokong strategi pertumbuhan jangka panjang serta menyediakan sumber pembangunan masa depan yang mampan.

Ad Banner
Ad Banner

Menurut kumpulan itu, keluasan tanah berkenaan, ditambah dengan perkembangan ekosistem perindustrian di kawasan itu serta pembangunan yang sedang dilaksanakan, menawarkan prospek pembangunan yang memberangsangkan.

Penilaian kebolehlaksanaan awal kumpulan menunjukkan cadangan pembangunan bercampur di kawasan itu berpotensi mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) kira-kira RM2.1 bilion, menurutnya.

Matrix Concepts memaklumkan pembangunan itu akan melengkapi projek-projek di sekitarnya dan menyumbang kepada pertumbuhan keseluruhan kawasan berkenaan.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Pembangunan itu juga dijangka menyokong peningkatan nilai hartanah di kawasan sekitar menerusi penambahbaikan infrastruktur, aksesibiliti dan kemudahan sokongan.

“Selain itu, pembangunan berkenaan dijangka merancakkan aktiviti ekonomi, mewujudkan peluang perniagaan dan pekerjaan serta menghasilkan kesan limpahan positif yang seterusnya meningkatkan daya tarikan dan kemampanan kawasan itu,” menurut kumpulan itu.

-- BERNAMA