11 Tahun Untuk Capai RM2,500, Kenaikan Gaji Beri Ruang Fokus Simpanan, Miliki Rumah - Pekerja
Oleh Nur Afiradina Arshad
BATU GAJAH, 27 Okt (Bernama) -- Mengambil masa 11 tahun untuk mencapai gaji melebihi RM2,500 sebulan, seorang pekerja industri pemasangan kenderaan menyifatkan cadangan gaji permulaan RM2,500 bagi siswazah dan pekerja separa mahir sebagai peluang untuk generasi baharu menikmati kehidupan yang lebih baik.
Mohamad Farid Faquan Sadarudin, 41, yang memulakan kerjaya pada 2015 dengan gaji RM1,400, berkata peningkatan itu bukan sekadar angka pada penyata gaji, sebaliknya boleh menentukan sejauh mana seseorang pekerja mampu menampung keperluan hidup, menyimpan untuk kecemasan dan merancang masa depan keluarga.
Dia yang sudah berkeluarga dan mempunyai seorang anak berusia enam tahun berkata dengan gaji permulaan RM2,500, pekerja baharu berpeluang memulakan kehidupan dalam kedudukan kewangan yang lebih kukuh, khususnya ketika kos keperluan asas terus meningkat.
“Untuk permulaan dulu, sewaktu gaji rendah memang tidak cukuplah sebenarnya, duduk menyewa, bayar kereta dan keperluan asas … tetapi, untuk sekarang ini kalau permulaan pun dah RM2,500 itu sesuatu yang baik,” katanya ketika ditemui Bernama, baru-baru ini.
Sementara itu, seorang juruteknik Mohd Ariff Farhan Kamarzaman, 37, berkata dasar kenaikan gaji itu memberikan ruang kepada pekerja untuk merancang pemilikan rumah, menambah simpanan kecemasan serta mendapat perlindungan kesihatan persendirian.
“Bagi saya yang masih bujang ini, kenaikan gaji itu membantu dari segi perbelanjaan rumah, tanggungan seperti ibu bapa dan membuka peluang untuk memiliki rumah sendiri memandangkan kini saya hanya menyewa,” katanya yang merupakan lulusan diploma Kejuruteraan Mekanikal, Politeknik Ungku Omar, di sini.
Mohd Ariff Farhan yang mula bekerja pada 2015 dengan gaji RM1,500 berkata perbelanjaan bulanannya bagi keperluan harian termasuk makanan, bil utiliti dan minyak kenderaan, mencecah lebih RM1,000, manakala sewa rumah kira-kira RM500 hingga RM600 sebulan.
Sementara itu, Ketua Eksekutif Institut Darul Ridzuan Dr Zulqarnain Mohamad berpandangan cadangan berkenaan berpotensi membantu mengekang penghijrahan tenaga kerja dari Perak, selain meningkatkan kuasa beli rakyat dan merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri.
Beliau berkata penawaran gaji yang lebih kompetitif, disokong oleh kos sara hidup yang relatif rendah berbanding negeri seperti Selangor dan Pulau Pinang, mampu menjadi faktor penarik kepada tenaga kerja untuk kekal bekerja dan membina kerjaya di Perak.
“Perkara itu dibuktikan dengan dapatan kajian yang dilaksanakan oleh pihak IDR dalam merangka keperluan rakyat di negeri ini melalui Kajian Belanjawan Negeri Perak 2027 yang menunjukkan realiti semasa rakyat bagi komponen perbelanjaan yang menjadi cabaran bagi rakyat di negeri ini ialah berkaitan utiliti, iaitu 74.2 peratus berbanding kos makanan dengan 72.7 peratus.
“Hal ini mungkin disebabkan oleh pelbagai inisiatif yang telah dilakukan kerajaan negeri antaranya pelaksanaan Pasar Sejahtera Rakyat Perak (PSRP) yang dilihat membantu menangani isu kos sara hidup serta memberikan kesan positif kepada rakyat pada peringkat akar umbi,” katanya.
Selain itu, beliau berkata pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Perak sebanyak 5.7 peratus pada tahun lepas, mengatasi pertumbuhan nasional mencerminkan perkembangan ekonomi positif negeri, selain peningkatan pendapatan pekerja berpotensi menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi, memperkukuh perusahaan tempatan serta mewujudkan pekerjaan berkualiti dan meningkatkan pendapatan rakyat.
Beliau berkata pembangunan lima nod pertumbuhan strategik negeri, iaitu Lembah Automotif Berteknologi Tinggi di Tanjung Malim, Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC) di Manjung, Silver Valley Technology Park di Lembah Kinta, Taman Perindustrian Bersepadu Hijau Kerian (KIGIP) dan Taman Perindustrian Halal Perak di Lekir, dilihat boleh membantu merangsang permintaan terhadap tenaga kerja sekiranya dasar itu dilaksanakan.
“Gaji median untuk pekerja di Perak ialah RM2,173 bagi 2025, apabila kita tingkatkan gaji minimum kepada RM2,000 dan RM2,500 untuk graduan dan pekerja separa mahir, langkah ini diyakini memberikan kesan positif terhadap perniagaan tempatan dan daya tarikan peluang pekerjaan di negeri ini.
“Beberapa tahun sebelum ini, kita menghadapi penghijrahan keluar tenaga kerja dari Perak apabila pekerja mahir dan separa mahir ke negeri-negeri lain, jadi kita nampak sekiranya pendapatan ditingkatkan, perkara itu menjadi faktor tarikan kepada rakyat Perak sendiri untuk tinggal di sini, selain mereka yang berada di negeri lain datang ke Perak untuk menyumbang kepada pembangunan negeri dan bekerja di sini,” katanya.
Beliau berkata secara keseluruhannya, peningkatan pendapatan pekerja mampu membantu merangsang ekonomi negeri, selaras dengan aspirasi Perak Sejahtera 2030 untuk memperkukuh ekonomi negeri dan memperkasakan kesejahteraan rakyat menerusi usaha meningkatkan siling ekonomi serta lantai pendapatan rakyat.
Pensyarah Ekonomi, Fakulti Pengurusan dan Ekonomi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Prof Madya Dr Norasibah Abdul Jalil berkata pelaksanaan dasar gaji permulaan RM2,500 bagi pekerja separa mahir berpotensi meningkatkan kuasa beli dan perbelanjaan pengguna, sekali gus merangsang aktiviti ekonomi negeri Perak.
Beliau berkata berdasarkan simulasi kenaikan gaji sebanyak RM278 sebulan yang melibatkan kira-kira 243,000 hingga 287,000 pekerja separa mahir, bersamaan dengan 60 peratus daripada anggaran keseluruhan pekerja separa mahir di negeri itu, tambahan pendapatan pekerja dianggarkan antara RM810 juta hingga RM957 juta setahun.
"Dengan andaian 80 peratus daripada tambahan pendapatan dibelanjakan, peningkatan perbelanjaan pengguna dianggarkan mencecah RM648 juta hingga RM766 juta setahun.
"Walaupun angka ini merupakan anggaran simulasi dengan andaian faktor lain tidak berubah dan tidak semua perbelanjaan tambahan berlaku di Perak, peningkatan kuasa beli pekerja berpotensi merangsang permintaan domestik serta menyokong perkembangan perniagaan tempatan," katanya.
Norasibah berkata kesan tersebut dijangka lebih ketara dalam sektor perkhidmatan yang menyumbang 61.8 peratus kepada KDNK Perak, khususnya perdagangan, perhotelan, pelancongan serta makanan dan minuman yang berkait rapat dengan perbelanjaan pengguna.
Sektor lain yang turut berpotensi menerima kesan limpahan peningkatan permintaan ialah pembuatan, pertanian dan pembinaan, yang masing-masing menyumbang 21 peratus, 13.6 peratus dan 2.7 peratus kepada KDNK negeri, diikuti oleh perlombongan dan pengkuarian sebanyak 0.6 peratus.
-- BERNAMA