BERITA TERKINI   Liga Super: Sabah FC 2-0 Terengganu FC | Isu kesihatan mental kanak-kanak perlu diberi perhatian serius - PM Anwar | Malaysia, Thailand muktamad rundingan lebarkan muara Sungai Golok dalam tempoh sebulan - PM Anwar | ADUN Mata Ayer Wan Badariah Wan Saad meninggal dunia pada 4.26 petang ini di Kangar - Ketua Penerangan PAS Perlis | 

JBPM Perkukuh Keupayaan Operasi, Teroka Teknologi Baharu

Oleh Noraizura Ahmad

KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memperkukuh keupayaan operasi dan logistik menerusi usaha pemodenan aset serta penerokaan teknologi baharu termasuk sistem tanpa pemandu yang melibatkan dua unit robot pemadam kebakaran (FFR).

Ketua Pengarah JBPM Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata langkah itu penting bagi memastikan jabatan berkenaan sentiasa bersedia menghadapi pelbagai kecemasan termasuk kebakaran, kemalangan, operasi menyelamat serta bencana berskala besar.

Ad Banner
Ad Banner

Beliau berkata penggantian jentera dan peralatan akan dilaksanakan secara berfasa berdasarkan usia serta keupayaan aset untuk beroperasi termasuk perolehan 80 unit jentera Fire Rescue Tender (FRT).

“Dari 2001 hingga 2026, JBPM telah memperoleh 686 jentera FRT manakala keperluan berdasarkan norma keluaran ialah 592 unit.

“Berdasarkan data ini, 372 unit daripada 592 (63 peratus) jentera sedia ada telah melepasi usia 10 tahun, susulan itu, perolehan penggantian 80 unit FRT dan 150 jentera bomba kompak (CFRT) sedia ada dijangka memberi impak nyata kepada kesiapsiagaan, keupayaan operasi dan penyampaian perkhidmatan jabatan bagi tahun mendatang,” katanya kepada Bernama.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Selain penggantian jentera, Nor Hisham berkata pihaknya memberi perhatian kepada peningkatan masa tindak balas khususnya di kawasan yang masih belum mencapai sasaran ditetapkan, menerusi pembinaan balai bomba baharu dan kesinambungan projek yang sedang dilaksanakan.

“Dalam usaha memodenkan keupayaan operasi, jabatan turut merancang perolehan sistem tanpa pemandu melibatkan dua unit FFR, selaras dengan perkembangan teknologi dalam menyokong operasi kebombaan dan penyelamatan.

“Penyediaan kelengkapan perlindungan diri (PPE) khususnya pakaian perlindungan kebakaran, serta penambahan dan penggantian peralatan asas menyelamat juga menjadi antara keperluan penting bagi menyokong keselamatan anggota ketika bertugas,” katanya.

Nor Hisham berkata pihaknya turut memberi perhatian kepada kenderaan utiliti, logistik Unit K9 dan kemudahan operasi bagi menyokong mobiliti anggota, terutama ketika menjalankan operasi mencari dan menyelamat serta pengurusan bencana.

Dalam aspek kebajikan, JBPM memberi tumpuan kepada pembinaan dan penyelenggaraan kuarters dengan kos keseluruhan projek berjumlah RM241.6 juta, termasuk kos siling RM35.1 juta bagi 2027.

Sebanyak RM16 juta turut diperuntukkan bagi penyelenggaraan fasiliti, selain kelulusan kerja pembangunan semula dan pemodenan balai bomba berusia melibatkan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perai, Jalan Perak, Jerantut, Muar dan Sarikei.

Nor Hisham berkata usaha memperkukuh aset, kemudahan dan keupayaan anggota itu dijangka meningkatkan kebolehpercayaan aset, kesiapsiagaan jabatan serta keupayaan tindak balas terhadap kecemasan.

Dalam jangka panjang, JBPM turut terbuka meneroka penggunaan kenderaan elektrik (EV) bagi jentera FRT dan kenderaan utiliti, dengan penilaian terhadap kesesuaian operasi, jarak perjalanan, kapasiti bateri, infrastruktur pengecasan, keperluan teknikal serta kos sepanjang hayat aset.

Bagi menyokong usaha berkenaan, kerajaan meluluskan Peruntukan Pembangunan (DE) berjumlah RM1.8 bilion kepada JBPM di bawah Belanjawan 2027 untuk melaksanakan 96 projek sambungan dan baharu, merangkumi pembangunan fizikal, infrastruktur serta perolehan jentera dan peralatan, dengan kos siling RM200 juta bagi tahun berkenaan.

“Peruntukan ini amat penting, khususnya bagi memenuhi keperluan penggantian jentera FRT, penyediaan pakaian perlindungan keselamatan serta peralatan operasi kebombaan dan penyelamatan yang lain,” katanya.

Sabtu lepas, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming mengumumkan peruntukan RM200 juta di bawah Belanjawan 2027 bagi meningkatkan kecekapan bomba dalam misi menyelamat serta kesiapsiagaan menghadapi bencana kebakaran.

-- BERNAMA