Sumbangan RM1,000 Bantu Ringankan Kos Operasi Pemandu Teksi, Kereta Sewa
MELAKA, 26 Okt (Bernama) -- Sumbangan RM1,000 sekali beri kepada pemandu teksi, kereta sewa dan bas sekolah di Melaka amat bermakna buat golongan itu bagi meringankan kos operasi dan menangani peningkatan kos sara hidup.
Pemandu teksi Md Nor Md Yusoh, 81, dari Telok Mas berkata sumbangan itu amat besar buat dirinya untuk menampung perbelanjaan harian memandangkan pendapatannya kini tidak menentu disebabkan pelbagai faktor, antaranya peningkatan usia dan persaingan dengan penyedia perkhidmatan e-hailing.
Beliau yang telah bekerja sebagai pemandu teksi selama hampir 50 tahun berkata sumbangan itu akan digunakan secara berhemat dan sebaik mungkin dengan memberi keutamaan pada keperluan meneruskan kelangsungan hidupnya.
"Sekarang ini hendak dapat RM20 hingga RM30 sehari pun susah… dahulu masa usia muda pak cik dapat bergerak lebih jauh sehingga ke luar Melaka untuk mengambil dan menghantar pelanggan tetapi bila sudah tua, pergerakan sangat terbatas, hanya di sekitar Melaka sahaja.
"Alhamdulillah, pak cik sangat gembira dan bersyukur dengan bantuan RM1,000 yang kerajaan berikan hari ini… semoga nasib pemandu teksi akan terus dibela," katanya kepada Bernama di Auditorium Kompleks CMI di sini hari ini.
Md Nor berkata demikian selepas Majlis Pemberian Bantuan Khas Kewangan kepada Pemandu Teksi, Kereta Sewa dan Bas Sekolah melibatkan 283 penerima yang disampaikan oleh Menteri Pengangkutan Anthony Loke di sini hari ini.
Sementara itu, pemandu kereta sewa Khatimah Ahmad, 67, dari Bukit Baru berkata sumbangan itu akan disimpan sebagai dana kecemasan sekiranya kenderaan yang digunakan untuk mencari rezeki itu rosak atau perlu diselenggara.
"Saya memang tidak banyak hendak berbelanja tetapi kalau kereta yang digunakan perlu dibaiki, duit itulah yang akan saya gunakan," katanya yang bergantung sepenuhnya pada pendapatan sebagai pemandu kereta sewa sejak 14 tahun lepas.
Beliau turut berharap sumbangan dalam bentuk kewangan dapat diteruskan agar dapat meringankan beban golongan sepertinya.
Pemandu teksi R. Jaganathan, 68, dari Tampin berkata sumbangan berkenaan akan digunakan untuk membuat persiapan sambutan Deepavali pada bulan depan sekali gus meringankan beban perbelanjaan yang perlu ditanggungnya.
"Tidak sangka dapat sumbangan sebanyak ini sebelum sambutan Deepavali dan rasa senang hati, … terima kasih pada kerajaan," katanya yang telah memandu teksi selama 10 tahun.
Pemandu kereta sewa Ong Eng Fong, 48, berkata sumbangan berkenaan umpama bonus tambahan buat pekerjaan yang telah diceburinya sejak 10 tahun lepas dan wang berkenaan akan disimpan untuk digunakan pada waktu kecemasan terutama apabila kereta yang digunakan rosak.
"Saya bergerak di merata tempat termasuk di luar Melaka, jadi penjagaan dan penyelenggaraan kereta menjadi keutamaan demi keselamatan saya dan juga penumpang," katanya yang memandu kenderaan pelbagai guna Toyota Innova.
Bantuan Khas Kewangan kepada Pemandu Teksi, Kereta Sewa dan Bas Sekolah adalah sebahagian daripada usaha Kerajaan MADANI untuk memperkukuh kebajikan serta meringankan beban kewangan pemandu sebagaimana diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Parlimen pada 9 Okt lepas.
-- BERNAMA