BERITA TERKINI   Sebanyak RM645,000 diperuntuk bagi pelaksanaan wakaf air, pemasangan kemudahan solar di masjid terpilih di Kelantan - PM Anwar | Kerajaan peruntuk RM2.5 juta untuk sedia kemudahan rawatan dialisis di beberapa masjid terpilih di Kelantan - PM Anwar | Institusi pendidikan pondok perlu kekalkan pengajian turath atau warisan keilmuan Islam, manfaat teknologi moden - PM Anwar | Institusi pondok berperanan sebagai benteng pertahankan akidah, akhlak, sahsiah dan adab - PM Anwar | Istiadat Menjunjung Duli dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Selangor esok ditangguhkan ke 7 Nov - Istana Alam Shah | 

Nilai Perolehan Kontrak Kerjaya Naik Kepada RM6 Bilion Susulan Raih Kontrak Terbaharu

KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) -- Nilai perolehan kontrak Kerjaya Prospek Group Bhd berpotensi meningkat kepada RM6.0 bilion daripada RM5.9 bilion berikutan kejayaannya meraih kontrak terbaharu daripada Tenaga Nasional Bhd, menurut MBSB Research.

Dalam nota penyelidikannya hari ini, MBSB Research memaklumkan kontrak terbaharu bernilai RM142 juta untuk projek pencawang Tenaga Nasional Bhd (TNB) di Terengganu akan mempelbagaikan lagi portfolio projek Kerjaya, melangkaui skop kerja pembinaan terasnya.

“Kontrak daripada pihak luar kini merangkumi 60.7 peratus daripada kontrak yang diperoleh sejak awal tahun kewangan 2026, berbanding komposisi yang hampir seimbang antara projek pihak luar dengan projek pihak berkaitan dalam nilai perolehan kontrak yang belum disiapkan.

Ad Banner
Ad Banner

“Walaupun kontrak bernilai RM142 juta itu hanya merangkumi 2.4 peratus daripada nilai perolehan kontrak sedia ada, kontrak berkenaan meluaskan pendedahan syarikat yang melangkaui kerja-kerja pembinaan terasnya,” tambah nota penyelidikan itu.

Semalam, Kerjaya Prospek menerusi konsortium bersama Jati Tinggi Holding Bhd dan Betapac Sdn Bhd, memperoleh kontrak bernilai RM568.2 juta untuk membina Pencawang Bertebat Gas (GIS) Paka di Terengganu.

MBSB Research memaklumkan kontrak terbaharu itu akan meningkatkan nilai kontrak yang diperoleh Kerjaya sejak awal tahun kewangan 2026 kepada RM3.54 bilion daripada RM3.40 bilion sebelum ini, hampir dua kali ganda berbanding nilai RM1.80 bilion yang diperoleh pada 2025 dan kurang RM160 juta daripada unjuran awal untuk nilai kontrak baharu bagi setahun penuh sebanyak RM3.70 bilion.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

MBSB Research turut menjangkakan potensi kontrak pembinaan dalaman bernilai RM300 juta bagi pembangunan Kerjaya di Batu Kawan, yang boleh meningkatkan nilai kontrak yang diperoleh syarikat pada 2026 kepada RM3.84 bilion.

Kerjaya Prospek juga mempunyai nilai tender RM2.0 bilion, dengan peluang berpotensi merangkumi pakej kerja-kerja sivil dan struktur (C&S) serta mekanikal, elektrikal dan paip (MEP) berskala besar untuk pusat data, selain kerja-kerja perindustrian dan infrastruktur.

-- BERNAMA