Perbahasan Belanjawan 2027 Peringkat Dasar Selesai, Isu Jerebu Antara Tumpuan Minggu Ini
KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) -- Perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2027 peringkat dasar berakhir semalam selepas berlangsung selama lapan hari melibatkan 149 Ahli Parlimen dengan pembahas terakhir Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) menyampaikan hujahnya.
Sebelum menangguhkan persidangan minggu ini, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul memaklumkan sesi penggulungan oleh menteri-menteri akan berlangsung selama empat hari bermula 26 hingga 29 Okt ini.
Isu jerebu rentas sempadan, mekanisme agihan peruntukan Ahli Parlimen, serta masalah disiplin murid dan keselamatan di sekolah antara topik yang mendominasi perbahasan minggu kedua RUU itu.
Turut dibangkitkan pelbagai isu pembangunan, usaha kerajaan memperkukuh tadbir urus, kawalan keselamatan sempadan negara, kesihatan, serta isu pelarian Myanmar.
Tindakan berkesan menangani jerebu diberi penekanan oleh kebanyakan pembahas dengan Kalam Salan (PN-Sabak Bernam) paling mencuri tumpuan apabila secara terbuka menyampaikan pesanan kepada Presiden Indonesia Prabowo Subianto dalam bahasa Jawa bagi menggesa negara itu menyelesaikan isu tersebut.
Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan (JKPK) Parlimen yang dipengerusikan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) pula mengambil tindakan menghantar memorandum berkaitan masalah jerebu rentas sempadan kepada Kedutaan Indonesia pada Rabu.
Isu peruntukan Ahli Parlimen turut mencuri tumpuan, dengan Syahredzan Johan (PH-Bangi) menyarankan kerajaan menggubal undang-undang bagi menjamin pengagihan berdasarkan formula berkadar mengikut jumlah pengundi dan penduduk tanpa mengira fahaman politik, manakala Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) mencadangkan penggubalan Akta Peruntukan Pembangunan Kawasan Parlimen.
Datuk Shamshulkahar Mohd Deli (BN-Jempol) pula menyokong langkah drastik Kementerian Pendidikan (KPM) melaksanakan audit keselamatan, menambah bilangan guru kaunseling dan pembantu warden serta memperluas kuasa disiplin sekolah bagi menangani isu disiplin dan keselamatan murid.
Bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) pula membawakan isu kebajikan dengan mencadangkan kerajaan mewujudkan pelan induk khusus bagi menangani kemiskinan di kawasan bandar dan separa bandar dalam tempoh lima tahun menerusi pendekatan bersepadu melibatkan pelbagai kementerian.
Pengantin baharu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA-Muar) turut menarik perhatian apabila mencadangkan supaya kerajaan mempertimbangkan pemberian insentif pengecualian cukai pendapatan kepada individu yang menggaji pembantu khusus bagi merawat dan menjaga ibu bapa uzur di rumah.
Semasa sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri pada Selasa pula, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Kerajaan MADANI mewarisi satu sistem kurang telus menyebabkan pelbagai jenayah korporat dan manipulasi pasaran yang berlaku sejak sekian lama tidak ditangani dengan berkesan.
Beliau berkata Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman telah membekukan dana berjumlah RM4.3 bilion serta menyita RM1 bilion berkaitan kegiatan jenayah itu sejak akhir 2022 hingga September 2026.
Anwar yang juga Menteri Kewangan turut menyatakan kerajaan sedang memuktamadkan RUU Entiti Milik Kerajaan bagi memperketat kawal selia, tatakelola dan pengurusan kewangan badan serta agensi kerajaan, dengan sasaran ia dibentangkan serta diluluskan di Dewan Rakyat tahun ini.
Menteri Digital Gobind Singh Deo ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri semalam pula menjawab isu larangan penggunaan aplikasi navigasi Waze dalam kalangan penjawat awam dan memaklumkan kerajaan sedang memperkukuh keupayaan aplikasi tempatan, TuJu.
Dalam pada itu, persidangan Dewan Rakyat tidak pernah sunyi dengan kekecohan apabila pada Isnin, pertikaman lidah berlaku susulan penggunaan istilah “munafik” oleh Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu), dengan RSN Rayer (PH-Jelutong) mendakwa ia seolah-olah ditujukan kepada Perdana Menteri.
Lantaran itu, Yang Dipertua Dewan Rakyat menasihatkan Ahli Parlimen supaya lebih berhati-hati menggunakan istilah yang boleh menimbulkan kontroversi dan pada Rabu, beliau mengarahkan Takiyuddin menarik baik perkataan tersebut atau Rayer boleh meneruskan usul sekiranya Ahli Parlimen Kota Bharu itu gagal mematuhi arahan tersebut.
Persidangan minggu ini turut menyaksikan bacaan kali pertama RUU Pendaftaran Penjenayah dan Orang yang Tidak Diingini (Pindaan) 2026 pada Rabu.
Persidangan Dewan Rakyat berlangsung selama 37 hari hingga 8 Dis ini.
-- BERNAMA