Keselamatan Sekolah, TVET Antara Tumpuan Hari Terakhir Bahas Belanjawan 2027 Peringkat Dasar
KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) -- Isu keselamatan, kebajikan dan perlindungan pelajar merentasi peringkat sekolah sehingga institusi latihan kemahiran dan industri antara yang dibangkitkan pada hari terakhir perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2027 peringkat dasar, hari ini.
Datuk Shamshulkahar Mohd Deli (BN-Jempol) menyokong langkah drastik Kementerian Pendidikan (KPM) melaksanakan audit keselamatan, menambah bilangan guru kaunseling dan pembantu warden serta memperluas kuasa disiplin sekolah bagi menangani isu disiplin dan keselamatan murid.
Beliau berkata isu keselamatan sekolah tidak boleh dipandang remeh kerana kegagalan menanganinya dikhuatiri menjejaskan keyakinan ibu bapa terhadap tahap keselamatan anak-anak mereka.
“Keadaan itu akan menimbulkan persepsi buruk bahawa sekolah berasrama penuh mahupun sekolah harian tidak lagi selamat untuk anak-anak kita. Kebimbangan ibu bapa hari ini perlu ditangani segera dengan jaminan keselamatan yang lebih meyakinkan,” katanya.
Beliau turut mencadangkan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di semua sekolah berasrama dan sekolah harian sebagai langkah memperkukuh keselamatan pelajar.
Pada sesi sama, Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) berkata cadangan penubuhan Suruhanjaya Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara adalah penting bagi menyelaras hala tuju bidang itu dan mengangkatnya sebagai bidang arus perdana pendidikan negara.
Beliau berkata suruhanjaya itu dapat memastikan pembangunan TVET seiring dengan aspirasi kerajaan untuk melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam bidang semikonduktor, automasi dan kecerdasan buatan (AI).
“Kalau tanpa suruhanjaya, kita rasa sistem pendidikan TVET ini seperti kelas kedua. Kita nak jadikan sistem pendidikan ini sistem kelas pertama arus perdana negara, sepertimana sistem akademik yang ada sekarang ini,” katanya.
Sementara itu, Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) mencadangkan supaya kerajaan meneliti keperluan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi pelajar yang menjalani latihan industri, khususnya mereka yang ditempatkan di sektor berat dan berisiko tinggi.
Beliau berkata di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 [Akta 4], kewajipan majikan untuk mendaftar dan mencarum bagi pekerja tertakluk pada syarat serta peruntukan undang-undang berkenaan.
Bagaimanapun, bagi pelajar latihan industri, Jalaluddin berkata kewajipan caruman bergantung sama ada mereka memenuhi takrif pekerja di bawah akta itu dan bukan semata-mata berdasarkan status sebagai pelajar praktikal atau penerima elaun.
Beliau memaklumkan menerima aduan daripada ibu bapa seorang pelajar praktikal yang meninggal dunia dalam perjalanan ke tempat kerja, namun tidak mencarum PERKESO sehingga warisnya tidak menerima pampasan melalui skim berkenaan.
“Dia bukan nak tuntut duit, cuma dia mahukan supaya perkara sama tidak berlaku kepada pelajar lain,” katanya dan menambah isu berkenaan perlu diberi perhatian, khususnya apabila membabitkan pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah yang menjadi harapan keluarga.
Sebelum persidangan ditangguhkan, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul memaklumkan sebanyak 149 Ahli Parlimen telah mengambil bahagian dalam perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 pada peringkat dasar yang berlangsung selama lapan hari.
Beliau berkata menteri-menteri akan mula menjawab perkara yang dibangkitkan sepanjang perbahasan itu mulai 26 Okt hingga 29 Okt ini.
“Yang Berhormat, esok hari Jumaat, balik bertenang, tengok semula perkara yang kita bahaskan. Semasa menteri menjawab kita boleh mencelah, bertanya dengan lebih lanjut, tetapi hendaknya dengan penuh adab dan tertib,” katanya.
Persidangan Dewan Rakyat ditangguhkan hingga Isnin depan.
-- BERNAMA