Pulau Pinang Terbuka PTFC Dijadikan Pusat Kebangsaan – Chow
GEORGE TOWN, 22 Okt (Bernama) -- Kerajaan Negeri Pulau Pinang terbuka kepada cadangan menjadikan National Technology and Financial Centre (PTFC) sebagai pusat kebangsaan.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata kerajaan negeri tidak mempunyai masalah sekiranya penubuhan PTFC berkenaan diperluas skopnya, namun ia tertakluk kepada perbincangan lanjut dengan Kementerian Kewangan (MOF).
“Pusat ini diberi nama National Technology and Financial Centre. Dalam perbincangan itu, kita pun tidak bermasalah menerima kalau ia menjadi pusat kebangsaan atau pusat negara,” katanya kepada pemberita di Wisma Yeap Chor Ee di sini hari ini, selepas mengumumkan penganjuran Pameran Sains Antarabangsa Pulau Pinang (PISF) 2026.
Chow berkata kerajaan negeri akan mengemukakan pelan tindakan dan kertas cadangan berkaitan inisiatif itu kepada MOF pada November ini, sebagai langkah awal untuk merealisasikan penubuhan pusat berkenaan.
Beliau berkata pegawai kerajaan negeri bersama-sama Jabatan Kewangan Negeri akan mengadakan perbincangan lanjut dengan pegawai kanan MOF selepas proses perbahasan dan kelulusan Belanjawan 2027 selesai.
“Kita faham MOF masih perlu menghadapi perbahasan bajet. Dalam jangkaan kita, biar bajet itu habis diluluskan sebelum mesyuarat lanjutan diadakan dengan pegawai atasan MOF, bagi merealisasikan cadangan ini,” katanya.
Beliau berkata nama PTFC masih digunakan buat masa ini, sementara perbincangan lanjut diadakan bagi memperincikan hala tuju dan konsep pelaksanaan pusat berkenaan.
Dalam Belanjawan 2027 pada 9 Okt lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengiktiraf cadangan penubuhan PTFC bersama-sama kerajaan Persekutuan, bagi memperkukuh ekosistem teknologi di Pulau Pinang.
-- BERNAMA