GEORGE TOWN, 29 Nov (Bernama) -- Tiga beranak mencuri perhatian apabila berkongsi detik bersejarah menerima ijazah pada Upacara Konvokesyen ke-64 Universiti Sains Malaysia (USM), di sini hari ini.
Bagi Abdul Mu’izz Abdul Aziz dan isterinya Sarina Razak, masing-masing berusia 48 tahun, kejayaan menerima skrol bersama-sama anak sulung mereka, Ammar Fa’iz, 23, sebagai detik bermakna yang melambangkan sokongan dan inspirasi dalam keluarga untuk terus menimba ilmu.
Abdul Mu’izz dan Sarina masing-masing bertugas sebagai Timbalan Bendahari dan Timbalan Pendaftar di universiti itu menamatkan pengajian Sarjana Pengurusan Profesional, manakala Ammar Fa’iz memperoleh Ijazah Sarjana Muda Pengurusan.
Ketiga-tiga mereka menerima skrol daripada Pro-Canselor USM Datuk Seri Dr Awang Adek Hussain.
Berkongsi kegembiraan itu, Sarina berkata peluang berdiri di pentas konvokesyen bersama-sama suami dan anak merupakan pengalaman paling manis serta bersejarah dalam kehidupannya, apatah lagi selepas mereka melalui perjalanan dan cabaran tersendiri untuk mencapai kejayaan berkenaan.
Sarina berkata pengajian itu bukan sahaja memberikan nilai tambah pada perkembangan kerjayanya, malah turut meningkatkan kemahiran serta meluaskan perspektif dalam melihat sesuatu perkara.
Sebagai kakitangan universiti itu, dia turut menghargai peluang yang diberi USM kepada warganya untuk terus meningkatkan ilmu dan mengamalkan pembelajaran sepanjang hayat.
Abdul Mu’izz berkata pembelajaran sepanjang hayat amat penting kerana mampu membuka perspektif baharu, khususnya golongan profesional yang mempunyai pengalaman bekerja.
Katanya menimba ilmu tidak seharusnya terhenti selepas memasuki alam pekerjaan, sebaliknya perlu diteruskan bagi memperluas pengetahuan.
Sementara itu Ammar Fa’iz pula, kejayaan itu membawa makna yang lebih besar kerana ibu dan bapanya bukan sekadar meraikan pencapaiannya, malah turut membuktikan bahawa usia dan komitmen kerjaya bukan penghalang untuk terus menimba ilmu.
“Saya bersyukur kerana Allah SWT mengurniakan rezeki untuk bergraduasi bersama-sama ayah dan ibu. Ini kenangan yang akan saya bawa sepanjang hayat, ibu dan ayah merupakan sumber inspirasi saya,” katanya.
-- BERNAMA