Am 29/11/2026 11:37 AM

My Jantungku Run 2026 Himpun 700 Peserta, Pupuk Budaya Hidup Sihat

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
My Jantungku Run 2026 Himpun 700 Peserta, Pupuk Budaya Hidup Sihat
Presiden Persatuan Pengamal Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MOSHPA) Datuk Dr Kanagaraja Raman (empat, kanan) bersama dengan Ketua Pegawai Operasi, Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) Nur Asharina Abdul Rashid (dua, kanan) dan Pengarah Yayasan Canselor Universiti Tenaga Nasional (YCU) Shazlini Osman (tiga, kanan) bergambar sebelum melepaskan peserta larian santai My Jantungku, My Health Run 2026 di Sports Arena Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) hari ini. Turut sama Timbalan Naib Causelor (Hal Ehwal Pelajar 2 Alumni) UNITEN Dr Abdul Aziz Mat Isa (kanan).

KAJANG, 29 Nov (Bernama) -- Kira-kira 700 peserta menyertai My Jantungku Run 2026 di Arena Sukan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) hari ini, dalam usaha meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan penjagaan kesihatan jantung menerusi amalan gaya hidup aktif.

Program anjuran Persatuan Pengamal Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MOSHPA) dengan kerjasama UNITEN dan Yayasan Canselor UNITEN (YCU) itu memberi penekanan kepada pembudayaan aspek keselamatan dan kesihatan dalam kalangan mahasiswa sebelum melangkah ke alam pekerjaan.

Presiden MOSHPA Datuk Dr Kanagaraja Raman berkata program My Jantungku Run menyasarkan penyertaan 3,000 peserta tahun depan susulan sambutan menggalakkan terhadap penganjuran edisi ketiganya.

Beliau berkata MOSHPA turut berhasrat menjadikan program larian itu sebagai acara tahunan dalam usaha memperluas kesedaran masyarakat mengenai kepentingan penjagaan kesihatan jantung dan pembudayaan gaya hidup sihat.

"Kita akan sambung program ini setiap tahun. Tahun ini banyak galakan, tetapi sasaran saya ialah 3,000 peserta. Saya rasa tahun depan kita akan capai 3,000 peserta dan kita buat dengan lebih meriah," katanya ketika berucap pada program itu di sini hari ini.

Inisiatif yang diperkenalkan sejak 2017 itu turut mencerminkan komitmen berterusan MOSHPA dalam memperluas agenda keselamatan dan kesihatan melangkaui persekitaran tempat kerja kepada masyarakat umum.

Bertemakan "Healthy People, Stronger Communities", program berkenaan menampilkan dua kategori larian santai sejauh tiga dan lima kilometer, selain acara cabutan bertuah.

Program itu turut mendapat penyertaan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) serta Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH).

Antara penaja program ialah Tenaga Nasional Bhd (TNB), Darma Motor, SHE Academy and Consultancy (M) Sdn Bhd, GMO Cables Sdn Bhd, Breakaway Fitness dan Kajang Plaza Medical Centre.

Turut hadir Setiausaha Agung MOSHPA She Kok Keong, Ketua Pegawai Operasi UNITEN Nur Asharina Abdul Rashid, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UNITEN Prof Madya Dr Abdul Aziz Mat Isa dan Pengarah YCU Shazlini Osman.

Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah (Kesihatan Pekerjaan) JKKP Ahmad Nazri Abdul Kader dan Ketua Bahagian Pencegahan, Perubatan dan Pemulihan PERKESO Dr Azlan Darus.

-- BERNAMA