Dunia 29/11/2026 09:02 AM

UK, Kanada Antara Lapan Negara Gesa Palestin Adakan Pilihan Raya Awal 2027

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
UK, Kanada Antara Lapan Negara Gesa Palestin Adakan Pilihan Raya Awal 2027
Presiden Presiden Palestin Mahmoud Abbas

ISTANBUL, 29 Nov (Bernama-Anadolu) -- Lapan negara termasuk Kanada dan United Kingdom (UK) pada Sabtu menggesa Pihak Berkuasa Palestin (PA) mengadakan pilihan raya legislatif dan presiden pada suku pertama 2027, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Dalam satu kenyataan bersama, Menteri Luar Australia, Belgium, Kanada, Perancis, Luxembourg, Norway, Poland dan UK menyuarakan kekesalan terhadap keputusan Presiden Palestin Mahmoud Abbas menangguhkan pilihan raya yang dijadual berlangsung pada Sabtu.

“Dua puluh tahun selepas pilihan raya nasional terakhir di Palestin dan lima tahun selepas penangguhan pilihan raya legislatif yang dirancang pada 2021, ketiadaan pilihan raya terus menafikan hak rakyat Palestin untuk menyuarakan pilihan mereka secara demokratik menerusi peti undi,” menurut kenyataan itu.

Menteri luar berkenaan menegaskan bahawa pilihan raya penting bagi memperkukuh institusi Palestin serta memastikan pemimpin mereka mempunyai legitimasi untuk mewakili aspirasi rakyat.

Mereka turut menekankan kepentingan pembaharuan demokrasi ketika PA berusaha kembali mentadbir Gaza dan memulihkan kuasanya di seluruh wilayah Palestin yang diduduki.

Selain menggesa PA memenuhi komitmennya di bawah Deklarasi New York, mereka turut menyeru semua pihak supaya memudahkan pelaksanaan pilihan raya di seluruh wilayah yang diduduki.

Mereka menawarkan sokongan terhadap proses pilihan raya, termasuk menerusi misi pemerhati pilihan raya Kesatuan Eropah (EU) dan sumbangan kepada suruhanjaya pilihan raya bebas.

Lapan negara itu menyatakan bahawa sokongan mereka terhadap reformasi institusi Palestin seiring dengan komitmen terhadap masa depan politik rakyat Palestin.

“Kami kekal komited sepenuhnya terhadap hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri dan berazam untuk bekerjasama dengan rakan kongsi bagi merealisasikan penyelesaian dua negara,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA-ANADOLU