Dunia 29/11/2026 09:00 AM

Rangkaian Duta Palestin Untuk Kanak-Kanak Satukan Usaha Perjuang Hak Kanak-Kanak

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Rangkaian Duta Palestin Untuk Kanak-Kanak Satukan Usaha Perjuang Hak Kanak-Kanak
Rakyat Palestin berjalan melewati air kumbahan di Bandar Gaza pada Khamis, 26 Nov 2026. (AP Photo/Jehad Alshrafi)

Oleh Samihah Mohamed Janum

KUALA LUMPUR, 29 Nov (Bernama) -- Rangkaian Duta Palestin untuk Kanak-Kanak yang dilancarkan pada Julai bagi menyatukan usaha memperjuangkan hak kanak-kanak Palestin bermatlamat mengubah inisiatif individu kepada tindakan bersepadu dengan menggembleng aspek pengetahuan, dokumentasi, kesedaran awam dan advokasi.

Jurucakapnya Myemass Sulaiman berkata rangka kerja komuniti berasaskan sukarelawan itu menghimpunkan pelbagai pihak di bawah penyeliaan Pusat Penyelidikan dan Kajian Strategik Arab Antarabangsa menerusi Palestinian Childhood Observatory, sekali gus menjadikan hak kanak-kanak sebagai tanggungjawab bersama.

Beliau berkata meskipun terdapat banyak pertubuhan yang menyediakan bantuan kemanusiaan, pendidikan, penjagaan kesihatan dan perkhidmatan perlindungan kanak-kanak di Palestin, masih terdapat keperluan untuk mewujudkan platform bersepadu yang menghubungkan golongan profesional daripada pelbagai bidang.

“Kami mahu hak kanak-kanak menjadi tanggungjawab bersama, bukan tanggungjawab sesebuah institusi atau sektor profesional semata-mata, sebaliknya menjadi sebahagian daripada budaya masyarakat,” kata beliau dalam program The Nation terbitan Bernama TV bertajuk “Palestine Beyond the Headlines: The Future of Palestinian Children” baru-baru ini.

Rangkaian itu antara lain menghimpunkan ahli akademik, wartawan, pendidik, pakar penjagaan kesihatan dan aktivis hak asasi manusia.

Myemass berkata rangkaian itu memberi tumpuan kepada tiga bidang utama yang saling berkait iaitu meningkatkan kesedaran mengenai hak kanak-kanak, memperkukuh pendokumentasian dan penyelidikan serta menyokong inisiatif berasaskan komuniti yang menangani keperluan kanak-kanak secara langsung.

Beliau berkata rangkaian itu berusaha melengkapi, bukannya mengulangi usaha pertubuhan Palestin dan antarabangsa sedia ada, dengan menghimpunkan golongan profesional daripada pelbagai bidang bagi menangani jurang dalam penyelidikan, kesedaran awam dan advokasi.

“Kami menyedari bahawa banyak pertubuhan Palestin dan antarabangsa telah bertahun-tahun berusaha melindungi kanak-kanak dan menyediakan perkhidmatan asas.

“Penyelarasan amat penting. Kita perlu mendengar pandangan pertubuhan yang sudah berkhidmat di lapangan, memahami keutamaan mereka, mengenal pasti bidang yang boleh ditambah baik menerusi kepakaran kita serta menjalin kerjasama, bukannya bersaing untuk mendapatkan perhatian atau sumber,” katanya.

Myemass berkata rangkaian itu juga terbuka kepada kerjasama di peringkat tempatan dan antarabangsa dengan matlamat mengubah inisiatif individu kepada tindakan mampan serta menjadikan perlindungan kanak-kanak sebagai tanggungjawab bersama masyarakat.

-- BERNAMA