Am 25/11/2026 12:18 PM

Robot AI Bakal Bantu Kanak-kanak Pedalaman Belajar Tanpa Internet

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Robot AI Bakal Bantu Kanak-kanak Pedalaman Belajar Tanpa Internet
Dekan Fakulti Sains Data dan Komputeran Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Prof. Madya Dr. Hadhrami Ab Ghani (kiri) memberi tunjuk ajar kepada mahasiswa ketika sesi pembelajaran di makmal fakulti itu, yang dilengkapi kemudahan komputer berprestasi tinggi bagi menyokong pembelajaran dan penyelidikan kecerdasan buatan (AI) di UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa baru-baru ini.

Keupayaan melahirkan graduan mahir kecerdasan buatan (AI) bukan sekadar diukur melalui penguasaan teknologi, malah sejauh mana ilmu itu mampu diterjemahkan kepada inovasi yang memberi manfaat kepada masyarakat.

Dalam siri akhir laporan khas dua bahagian ini, Bernama menelusuri usaha Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menterjemahkan agenda Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menerusi pembangunan inovasi mahasiswa, penyelidikan AI serta cabaran memastikan teknologi itu dimanfaatkan secara beretika dan bertanggungjawab dalam pendidikan tinggi.

 

KOTA BHARU, 25 Nov (Bernama) -- Berhasrat membantu kanak-kanak di kawasan pedalaman mendapatkan akses pembelajaran lebih mudah, seorang mahasiswa Universiti Malaysia Kelantan (UMK) sedang membangunkan fungsi kecerdasan buatan (AI) luar talian pada sebuah robot pendidikan bagi membolehkan penggunaannya tanpa sambungan Internet.

Sahreen Hyqel Mohamed Zafarulla, 23, mahasiswa tahun ketiga program Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat di Fakulti Sains Data dan Komputeran UMK berkata projek tahun akhirnya itu membolehkan robot berkenaan berfungsi sebagai alat bantu pembelajaran, khususnya bagi mengajar kanak-kanak mata pelajaran asas seperti matematik.

Usaha itu selari dengan agenda Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang menyasarkan penghasilan 30,000 graduan mahir AI menjelang 2030, termasuk menerusi peningkatan kapasiti pengambilan pelajar dalam bidang berkaitan teknologi berkenaan di universiti awam.

Naib Canselor UMK Prof Datuk Dr Arham Abdullah sebelum ini berkata kuota pengambilan pelajar bagi program berkaitan AI di universiti itu ditingkatkan daripada 60 kepada 120 orang bagi setiap pengambilan, selain peruntukan tambahan bagi penyediaan tenaga pengajar.

Sahreen Hyqel berkata robot berkenaan telah dibangunkan, namun fungsi AI tanpa Internet masih dalam proses pembangunan dan akan diuji selepas siap kelak.

“Robot itu sebenarnya sudah ada, tetapi sekarang memerlukan sambungan internet yang kuat untuk berfungsi. Jadi, projek saya adalah membangunkan fungsi AI supaya ia boleh digunakan tanpa rangkaian Internet, termasuk di kawasan pedalaman yang mempunyai capaian Internet terhad,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Menurutnya, robot berkenaan akan diprogramkan dengan sistem AI yang membolehkannya memberikan respons bersesuaian kepada pertanyaan pengguna tanpa memerlukan sambungan Internet.

Beliau berkata inovasi itu diharap dapat membantu kanak-kanak di kawasan pedalaman mendapatkan pengalaman pembelajaran secara kendiri, khususnya di lokasi yang mempunyai keterbatasan akses kepada kemudahan pendidikan.

Sahreen Hyqel yang berasal dari Pulau Pinang berkata minatnya terhadap bidang AI bermula selepas memiliki diploma dalam bidang teknologi maklumat dan bekerja selama setahun dalam bidang rangkaian sebelum menyedari potensi besar teknologi berkenaan.

Beliau berkata antara cabaran utama dalam mempelajari AI ialah penguasaan matematik kerana bidang itu memerlukan pemahaman mendalam terhadap pengiraan dan algoritma bagi membolehkan seseorang membangunkan sistem AI sendiri.

“Pada mulanya saya fikir AI hanya berkaitan aplikasi seperti ChatGPT dan Gemini, tetapi selepas mempelajarinya secara lebih mendalam, saya faham bidang ini jauh lebih luas, termasuk matematik dan algoritma yang menjadi asas pembangunan teknologi berkenaan,” katanya.

Beliau berkata sokongan pensyarah dan pihak fakulti turut membantu mahasiswa membangunkan projek inovasi serta membuka peluang menyertai pertandingan dan program berkaitan teknologi.

Malah, beliau pernah berpeluang ke Jepun bagi mengikuti pembelajaran berkaitan pembelajaran mesin (machine learning), yang memberikan pendedahan tambahan dalam bidang AI.

Sahreen Hyqel berkata pengalaman itu meningkatkan keyakinannya untuk menceburi industri AI selepas menamatkan pengajian, memandangkan teknologi berkenaan mempunyai prospek kerjaya yang luas dan terus berkembang.

Sementara itu, bekas graduan UMK yang memiliki Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Internet Pelbagai Benda (IoT), Dr Wan Ahmad Ridhwan Wan Musa berkata penggunaan AI dalam tugasan harian membolehkan proses pembangunan sistem dilaksanakan dengan lebih pantas tanpa mengabaikan keperluan pengguna.

Beliau yang juga Ketua Seksyen Penyelidikan dan Inovasi, Pusat Transformasi Digital UMK berkata teknologi itu turut dimanfaatkan dalam penyediaan penyelidikan, analisis data serta pembangunan dasar pendigitalan dan AI universiti.

“Jika dahulu pembangunan sesuatu modul mungkin mengambil masa berminggu-minggu hingga berbulan-bulan, sekarang kita boleh mempercepat proses itu hingga mampu disiapkan dalam beberapa hari,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata AI perlu dilihat sebagai alat yang membantu meningkatkan produktiviti dan bukannya menggantikan peranan manusia dalam membuat keputusan.

Katanya, kebergantungan sepenuhnya kepada AI tanpa menyemak ketepatan maklumat boleh menjejaskan kualiti tugasan, khususnya dalam bidang akademik dan penyelidikan.

“AI memang memudahkan kerja, tetapi kita tidak boleh menerima 100 peratus hasil yang diberikan. Kita perlu membuat semakan, menjalankan penyelidikan dan memastikan maklumat yang dihasilkan itu tepat,” katanya.

Pengalaman beliau dalam bidang penyelidikan AI turut merangkumi pembangunan kerangka bagi membantu mahasiswa autisme di universiti awam.

Wan Ahmad Ridhwan berkata penyelidikan itu bertujuan mengambil kira keperluan golongan berkenaan dalam pembangunan sistem digital supaya teknologi yang dihasilkan lebih inklusif dan bersesuaian dengan keperluan pengguna.

Beliau merupakan graduan UMK telah menamatkan pengajian PhD dalam tempoh tiga tahun lima bulan pada sidang pertama Istiadat Konvokesyen UMK ke-16 baru-baru ini di UMK Bachok, sekali gus membuktikan kepentingan penyelidikan dan penguasaan teknologi dalam pembangunan kepakaran bidang berkenaan.

-- BERNAMA