KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Pengintegrasian sistem antara Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi menyalurkan maklumat pemeriksaan kesihatan pemandu secara terus ke sistem mySIKAP dijangka selesai secara berfasa menjelang akhir tahun ini.
Timbalan Menteri Pengangkutan Hasbi Habibollah berkata ketika ini, maklumat pemeriksaan kesihatan menerusi Borang JPJL8A di bawah Program Pemandu Sihat dan Selamat (PSS) masih dimasukkan secara manual ke dalam sistem mySIKAP.
“Setelah integrasi beroperasi sepenuhnya, maklumat pemeriksaan kesihatan yang diterima melalui sistem mySIKAP akan menyokong semakan dan pematuhan pemandu terhadap syarat kesihatan pelesenan vokasional.
“Pemantauan ini berasaskan rekod dan ulasan pemeriksaan kesihatan yang dikemas kini dalam sistem,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Hasbi menjawab soalan Cha Kee Chin (PH-Rasah) tentang status pelaksanaan pendigitalan Borang JPJL8A di bawah Program PSS (Health Check for Drivers) bersama PERKESO sama ada laporan pemeriksaan kesihatan pemandu dimuat naik secara automatik ke dalam sistem MySIKAP JPJ.
Berhubung dengan pelaksanaan PSS yang diperkenalkan bagi pemandu kenderaan perdagangan yang layak, Hasbi berkata sebanyak 1,417 klinik panel telah berdaftar di seluruh negara bagi menyediakan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan menerusi program berkenaan setakat 23 Nov.
Beliau berkata daripada jumlah itu, 31 pencarum PERKESO telah menerima manfaat subsidi pemeriksaan kesihatan melibatkan perbelanjaan dana PERKESO sebanyak RM1,705, manakala 29 pemandu menjalani pemeriksaan secara bayaran penuh tanpa menggunakan subsidi.
Menerusi program itu, pemandu yang layak hanya perlu membayar RM30 bagi pemeriksaan kesihatan berjumlah RM85, manakala baki RM55 ditanggung oleh kerajaan.
Pemeriksaan berkenaan merangkumi pemeriksaan fizikal, penglihatan dan pendengaran, saringan gangguan tidur termasuk apnea tidur obstruktif serta penilaian sistem kardiovaskular, respiratori, neurologi dan muskuloskeletal.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata kerajaan turut melaksanakan projek bukti konsep (POC) sistem telematik bagi kenderaan perdagangan yang bermula pada 8 Sept lepas untuk memantau keadaan pemanduan selepas pemandu menjalani saringan kesihatan.
Hasbi berkata sistem itu membolehkan pemantauan diteruskan walaupun pemandu telah lulus pemeriksaan kesihatan, mengambil kira kemungkinan perubahan keadaan kesihatan mereka dari semasa ke semasa.
Berhubung dengan cadangan memperluas kelayakan program pemeriksaan kesihatan kepada pemandu berusia bawah 40 tahun, beliau berkata perkara itu akan dibincangkan bersama PERKESO dan pihak berkepentingan lain.
-- BERNAMA