Ekonomi 23/11/2026 01:25 PM

HI Mobility Peroleh Kontrak Bernilai RM665.68 Juta Untuk 23 Laluan Bas Johor Bahru

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
HI Mobility Peroleh Kontrak Bernilai RM665.68 Juta Untuk 23 Laluan Bas Johor Bahru
Kredit: Handal Indah Sdn Bhd

JOHOR BAHRU, 23 Nov (Bernama) – HI Mobility Bhd, melalui anak syarikat milik penuhnya Handal Indah Sdn Bhd telah memperoleh kontrak bernilai RM665.68 juta daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk mengendalikan 23 laluan bas di Johor Bahru dan kawasan sekitarnya.

Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat itu memaklumkan bahawa Handal Indah telah menerima surat penerimaan (LOA) yang melantiknya sebagai pengendali rangkaian perkhidmatan bas dalam bandar di bawah Program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-henti (SBST) di Johor Bahru.

Kontrak selama lima tahun itu, bermula dari 1 Januari, 2027 hingga 31 Disember, 2031 akan melibatkan penggunaan bas panjang, bas elektrik, dan bas mini bagi memenuhi permintaan penumpang yang semakin meningkat serta memperluas liputan perkhidmatan.

Rangkaian tersebut akan menghubungkan kawasan kediaman dengan destinasi komersial, peruncitan, dan institusi utama, termasuk Mid Valley Southkey, Toppen Shopping Centre, dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Perkhidmatan itu juga dijangka dapat memperkukuh kesalinghubungan pengangkutan awam menjelang pelaksanaan Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura yang akan menghubungkan Bukit Chagar di Johor Bahru dengan Woodlands North di Singapura.

Syarikat itu menyatakan bahawa rangkaian bas tersebut akan memainkan peranan penting dalam menyediakan kesalinghubungan batuan pertama dan terakhir khususnya dengan menghubungkan komuniti kediaman ke stesen rel dan destinasi-destinasi utama di seluruh bandar.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif HI Mobility, Lim Chern Chuen, berkata pelantikan tersebut mencerminkan keyakinan APAD terhadap keupayaan syarikat itu dalam mengendalikan rangkaian pengangkutan awam berskala besar.

Beliau berkata integrasi pelbagai mod pengangkutan akan menjadi semakin penting seiring dengan perkembangan rangkaian pengangkutan awam di Johor Bahru terutamanya dengan pengenalan RTS Link.

"Perkhidmatan bas akan terus memainkan peranan penting dalam menghubungkan kawasan kediaman, pusat komersial dan hab pengangkutan utama termasuk menyokong kesalinghubungan batu pertama dan batu terakhir ke infrastruktur rel," katanya.

Setakat 31 Julai, 2026, HI Mobility memiliki 921 buah bas termasuk 65 bas elektrik dan mengendalikan perkhidmatan bas rentas sempadan antara Malaysia dan Singapura di bawah jenama Causeway Link.

-- BERNAMA