KUALA LUMPUR, 17 Nov (Bernama)-- Perbadanan Pengurusan Likuiditi Islam Antarabangsa (IILM) mengumumkan portfolio sukuk jangka pendek belum tebusnya mencecah rekod US$7.6 bilion (US$1=RM4.09).
Hal ini susulan kejayaan perbadanan itu menyempurnakan lelongan sukuk terbaharunya bernilai US$1.557 bilion yang ditambah sebanyak US$10 juta daripada jumlah asal.
Menurut IILM urus niaga terbaharu berkenaan meningkatkan lagi kapasiti penerbitannya sekali gus membolehkan penawaran instrumen mudah tunai jangka pendek berkualiti tinggi yang mematuhi prinsip syariah dan diperluas kepada pasaran wang Islam antarabangsa.
IILM menyatakan perkembangan itu turut membuktikan keupayaannya yang berterusan untuk memanfaatkan pemerolehan aset bagi menyokong pertumbuhan portfolio serta memenuhi keperluan pengurusan mudah tunai yang sentiasa berkembang dalam pangkalan pelabur globalnya.
Lelongan itu menarik jumlah nilai perolehan kontrak sebanyak US$3.324 bilion, mewakili kadar lebihan langganan sebanyak 2.13 kali.
“Maklum balas kukuh daripada pelabur mencerminkan kedalaman dan daya tahan pangkalan pelabur global IILM di tengah-tengah peningkatan ketara hasil penanda aras, tekanan inflasi berterusan serta ketidaktentuan baharu merentasi keluk hasil Perbendaharaan AS,” jelas syarikat itu dalam satu kenyataan.
Sukuk itu diterbitkan dan diterbitkan semula merentasi lima tempoh matang berbeza iaitu US$432 juta bagi tempoh enam minggu yang matang pada 14 Jan 2027 pada kadar keuntungan 4.25 peratus dan US$384 juta bagi tempoh dua bulan yang matang pada 28 Jan 2027 pada kadar keuntungan 4.40 peratus.
Sementara itu, US$578 juta bagi tempoh tiga bulan yang matang pada 10 Feb 2027, pada kadar keuntungan 4.50 peratus.
Baki penerbitan terdiri daripada US$114 juta bagi tempoh enam bulan yang matang pada 27 Mei 2027, pada kadar keuntungan 4.70 peratus dan US$49 juta bagi tempoh 12 bulan yang matang pada 4 Nov 2027, pada kadar keuntungan 5.00 peratus.
Dengan urus niaga terbaharu itu, portfolio sukuk belum tebus IILM kini mewakili kira-kira 89 peratus daripada program penerbitan sukuk jangka pendeknya yang bernilai US$8.5 bilion.
Setakat tahun ini, IILM telah menerbitkan sukuk berjumlah kira-kira US$28 bilion menerusi 108 siri sekali gus mencatatkan satu lagi rekod dan mencerminkan skala, konsistensi serta kedalaman aktiviti penerbitannya selain sumbangan berterusannya kepada pembangunan pasaran wang Islam antarabangsa.
-- BERNAMA