Daripada Linda Khoo & Nabilah Saleh
MANILA, 17 Nov (Bernama) -- Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Selasa menawarkan kerjasama dengan negara ASEAN dalam bidang kecerdasan super, sambil berkata teknologi itu berpotensi mewujudkan peluang pekerjaan serta memajukan bidang sains dan perubatan.
Berucap pada Sidang Kemuncak Khas ASEAN-AS di sini, Trump berkata Washington berminat untuk bekerjasama dengan negara yang berhasrat membangunkan keupayaan teknologi masing-masing.
"Kami teruja untuk bekerjasama dengan setiap negara yang diwakili di sini hari ini, yang mahu membina masa depan teknologi dan meraih pertumbuhan ekonomi besar yang dibawanya," katanya.
Sidang kemuncak khas itu menghimpunkan Trump bersama pemimpin dan wakil daripada 11 negara anggota ASEAN, dengan Malaysia diwakili Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Trump mendakwa AS memiliki ekosistem kecerdasan super paling berkuasa di dunia dan berhasrat mengekalkan kedudukan sebagai peneraju dalam bidang itu.
Beliau berkata teknologi berkenaan berpotensi memberikan impak lebih besar berbanding Internet atau Revolusi Perindustrian, namun mengakui perlunya sikap berhati-hati dalam penggunaannya.
Selain teknologi, Trump menggesa rakan serantau supaya meneroka peluang dalam industri mineral kritikal, nadir bumi dan magnet, dengan merujuk kepada permintaan AS.
"Kami mahukan magnet," katanya sambil menggalakkan pemimpin meneroka peluang komersial dalam industri berkenaan.
Beliau turut berkata projek saluran paip gas asli cecair (LNG) di Alaska, yang disokong pelaburan Korea Selatan, akan memudah cara eksport tenaga kepada rakan kerjasama di seluruh rantau Pasifik.
Trump berkata projek itu akan membantu mengurangkan kos tenaga dan memperkukuh keselamatan tenaga, selain mengetengahkan perjanjian di seluruh rantau yang meliputi tenaga, mineral kritikal dan teknologi.
Beliau turut menegaskan semula komitmen Washington terhadap rakan kerjasamanya di rantau ini dengan menyatakan bahawa AS "amat komited terhadap kejayaan, kedaulatan dan kemakmuran ramai sahabat serta rakan kerjasama kami".
"Kami sentiasa bersama anda," katanya.
Trump yang sedang dalam lawatan ke Asia sebelum itu menghadiri mesyuarat pertama Quad dalam tempoh dua tahun, yang menghimpunkan Australia, India, Jepun dan AS.
Selepas bermalam di Manila, beliau dijadual berlepas ke Shenzhen, China bagi menghadiri Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2026.
-- BERNAMA