Am 17/11/2026 11:36 PM

Raja Permaisuri Agong Selamat Berangkat Tiba Di Turkiye Bagi Menghadiri COP 31

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Raja Permaisuri Agong Selamat Berangkat Tiba Di Turkiye Bagi Menghadiri COP 31
kredit: FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

KUALA LUMPUR, 17 Nov (Bernama) -- Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah selamat berangkat tiba di Antalya, Turkiye bagi menghadiri Persidangan Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP 31).

Menerusi hantaran di Facebook Sultan Ibrahim hari ini, pesawat khas Seri Paduka Baginda mendarat di Lapangan Terbang Antalya sekitar pukul 3 petang waktu tempatan (8 malam waktu Malaysia).

Keberangkatan tiba Raja Permaisuri Agong yang diiringi Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim disambut Duta Besar Malaysia ke Turkiye Adlan Mohd Shaffieq dan wakil Kementerian Luar Negeri Turkiye di Antalya, Duta Deha Erpek.

Raja Permaisuri Agong bakal menyempurnakan perasmian penutupan Pavilion Malaysia dan turut menyaksikan acara Johor Day di pavilion berkenaan yang mengetengahkan agenda serta inisiatif kelestarian negeri Johor yang dipacu oleh Johor Sustainability Centre (JSC).

-- BERNAMA