Am 15/11/2026 06:59 PM

Kursus Jualan Dalam Talian Shopee Tarik Peserta Di PMK Tualang Sekah

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Kursus Jualan Dalam Talian Shopee Tarik Peserta Di PMK Tualang Sekah
Mohd Azlan Helmi

BATU GAJAH, 15 Nov (Bernama) -- Kursus jualan dalam talian menerusi platform Shopee antara pengisian Program MADANI Kita (PMK) Tualang Sekah@Kampar, mendapat sambutan apabila menarik penyertaan kira-kira 200 peserta.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO negeri Mohd Azlan Helmi berkata sambutan itu, menunjukkan minat masyarakat untuk mempelajari kaedah penjualan produk secara digital.

Beliau berkata beberapa perkhidmatan lain turut mendapat sambutan menggalakkan, termasuk program pertukaran al-Quran yang disertai hampir 60 individu serta pemeriksaan pergigian yang menerima kunjungan orang ramai tanpa putus.

“Saya terkejut apabila kursus yang dianjurkan oleh Shopee untuk jualan dalam talian turut mendapat perhatian orang ramai dan dimaklumkan kepada saya kira-kira 200 peserta hadir untuk belajar bagaimana menjual secara dalam talian menerusi platform itu,” katanya kepada Bernama selepas merasmikan PMK bersama-sama Komuniti Tualang Sekah@Kampar di Dewan Orang Ramai Kampung Baru Chenderong, di sini hari ini.

Azlan berkata program itu menerima kehadiran kira-kira 2,800 pengunjung, melebihi sasaran awal 1,000 orang dari Parlimen Kampar dan kawasan sekitarnya.

Beliau berkata kehadiran masyarakat Melayu, Cina, India dan Orang Asli turut memperlihatkan keupayaan program itu menyantuni komuniti pelbagai kaum.

“Kehadiran masyarakat Orang Asli juga hadir. Maknanya secara tidak langsung kita dapat menyantuni seluruh masyarakat yang berbilang kaum dalam Malaysia,” katanya.

Dalam ucapan perasmiannya, Azlan berkata PMK bukan sahaja menyediakan peluang kepada rakyat untuk mendapatkan maklumat dan perkhidmatan kerajaan secara langsung, malah menjadi platform komunikasi dua hala bagi mengenal pasti isu serta keperluan masyarakat setempat.

“Pandangan, cadangan dan permasalahan yang disuarakan penduduk penting untuk disalurkan kepada agensi berkaitan, supaya tindakan dan perhatian sewajarnya dapat diberikan.

“Saya akan terus memberikan perhatian kepada keperluan masyarakat dan memastikan hubungan antara rakyat dengan kerajaan sentiasa terbuka,” katanya.

PMK Tualang Sekah@Kampar anjuran Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Kementerian Komunikasi dengan kerjasama Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), Jabatan Perdana Menteri itu disertai 35 agensi kerajaan yang menawarkan pelbagai perkhidmatan termasuk semakan Wang Tidak Dituntut, urusan Jabatan Pendaftaran Negara, perkhidmatan percukaian, semakan eKasih dan bantuan kebajikan.

-- BERNAMA