Dunia 14/11/2026 08:44 AM

Microsoft: Isu Teknikal Punca Gangguan Perkhidmatan Global

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Microsoft: Isu Teknikal Punca Gangguan Perkhidmatan Global

ANKARA, 14 Nov (Bernama-Anadolu) -- Microsoft pada Jumaat memaklumkan bahawa gangguan meluas yang menjejaskan perkhidmatannya berpunca daripada isu teknikal yang tidak berkaitan dengan aktiviti siber, kecerdasan buatan (AI) atau ejen AI, lapor Anadolu Ajansi.

Syarikat itu turut memohon maaf kepada pelanggan dan rakan kongsinya ketika usaha pemulihan masih diteruskan.

"Ini adalah isu teknikal yang tidak berkaitan dengan aktiviti siber atau AI/ejen AI," menurut syarikat itu dalam satu kenyataan.

Microsoft mengenal pasti punca gangguan itu sebagai masalah asas yang berpunca daripada kerja menaik taraf kapasiti rangkaian sebelum ini, namun hanya muncul susulan perubahan rangkaian baru-baru ini.

Syarikat itu memaklumkan bahawa isu berkenaan telah diselesaikan, dengan kebanyakan perkhidmatan kembali pulih dan stabil, walaupun usaha pemulihan masih diteruskan bagi pelanggan dan wilayah yang masih terjejas.

"Kami amat kesal atas gangguan yang dialami pelanggan dan rakan kongsi kami akibat insiden ini.

"Kami menyedari kepercayaan yang diberikan kepada perkhidmatan kami dan memandang serius tanggungjawab itu," menurut Microsoft.

Microsoft memaklumkan bahawa perkhidmatan dipulihkan secara berperingkat berikutan jumlah permintaan yang tinggi, dengan kestabilan disahkan pada setiap peringkat proses pemulihan.

"Walaupun proses ini mengambil masa lebih lama, ia membantu memastikan pemulihan yang stabil," menurut syarikat itu.

Syarikat berkenaan turut berjanji untuk menerbitkan laporan penuh pascainsiden sebaik sahaja siasatannya selesai.

Gangguan itu bermula pada Khamis melibatkan Exchange Online, yang menyokong perkhidmatan e-mel perniagaan menerusi Outlook, dan berterusan sehingga Jumaat.

Gangguan berkenaan turut menjejaskan beberapa fungsi dalam perkhidmatan Microsoft 365 lain yang bergantung pada Exchange Online, termasuk kalendar Teams, Copilot dan SharePoint.

Gangguan itu menjejaskan komunikasi di syarikat, sekolah dan agensi kerajaan, dengan sesetengah pengguna masih mengalami masalah akses dan kelewatan e-mel ketika perkhidmatan beransur pulih.

-- BERNAMA-ANADOLU