KUALA LUMPUR, 13 Nov (Bernama) -- Institut Koperasi Malaysia (IKMa) berjaya melatih 944,505 pemimpin, pengurus dan anggota koperasi menerusi 15,674 program latihan dan bimbingan sepanjang 70 tahun penubuhannya sejak 1956.
Ketua Pengarah IKMa Datuk Dr Mohd Ali Mansor berkata pencapaian itu mencerminkan peranan institusi berkenaan dalam memperkukuh pembangunan modal insan serta profesionalisme gerakan koperasi negara menerusi latihan dan penyelidikan berasaskan ilmu.
Beliau berkata pengiktirafan sebagai Cooperative Cultural Heritage (CCH) oleh International Cooperative Alliance (ICA) baru-baru ini turut mengukuhkan kedudukan IKMa sebagai institusi rujukan koperasi pada peringkat antarabangsa.
“Pengiktirafan ini memartabatkan IKMa dalam peta dunia serta membuka lebih banyak ruang kerjasama strategik dengan negara luar seperti Thailand, Indonesia dan kepulauan Asia Pasifik dalam bidang pendidikan serta latihan koperasi.
“Pada masa sama, Lembaga Pengarah dan pihak pengurusan sedang melaksanakan penstrukturan semula bagi memastikan institusi ini berada di landasan tepat selain berusaha ke arah berdikari sebagai sebuah institut pengajian tinggi yang terkemuka dalam negara,” katanya ketika berucap pada majlis Sambutan Jubli Platinum 70 Tahun IKMa di sini malam ini.
Pada majlis itu, lima anugerah koperasi turut disampaikan dengan setiap penerima menerima wang tunai RM5,000.
Koperasi Komuniti Kampung Kilim Langkawi Berhad menerima Anugerah Inspirasi Koperasi, manakala Koperasi Anugerah Haji Badji Semporna Berhad memenangi Anugerah Transformasi Digital Koperasi.
Anugerah Nadi Koperasi diberikan kepada Koperasi Komuniti Kepulauan Tuba dan Selat Berhad, Anugerah Koperasi Ikon kepada Koperasi Pelaburan Pekerja-pekerja Kejora Kota Tinggi Berhad dan Anugerah Khas Lestari (ESG) kepada Koperasi Pelancongan Mukim Batu Puteh Kinabatangan Berhad.
Sementara itu, Mohd Ali berkata IKMa memainkan peranan penting dalam memastikan ekosistem koperasi negara berkembang secara profesional dan berdaya saing sebagai tonggak ketiga sosioekonomi negara.
Beliau berkata penyertaan delegasi dari sembilan negara dalam program International Cooperative Roundtable (ICR 2026) membuktikan kemampuan IKMa menjadi rujukan serantau dalam pembangunan gerakan koperasi.
"Kerjasama yang sedang dijalankan bersama Indonesia bagi membangunkan Koperasi Merah Putih serta Mauritius turut mencerminkan minat negara luar untuk mendapatkan panduan dan kepakaran Malaysia dalam pembangunan koperasi," katanya.
Menurut IKMa, institusi itu melatih hampir 25,000 peserta setiap tahun menerusi purata 700 program yang memberi manfaat secara langsung dan tidak langsung kepada 55,000 komuniti tempatan setahun.
-- BERNAMA