Am 15/11/2026 12:09 AM

PRN Melaka: BN Menang 21 Kerusi, PH 4 Dan PN 3 - Pengerusi SPR

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
PRN Melaka: BN Menang 21 Kerusi, PH 4 Dan PN 3 - Pengerusi SPR
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Seri Ramlan Harun pada sidang media mengenai keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 di Menara Persekutuan.

MELAKA, 14 Nov (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) memenangi 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16, menurut keputusan rasmi yang diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) malam ini.

Pengerusi SPR Datuk Seri Ramlan Harun berkata Pakatan Harapan (PH) memenangi empat kerusi, manakala Perikatan Nasional (PN) memperoleh tiga kerusi.

Selain itu, beliau berkata sebanyak 493,573 pengundi atau 71.77 peratus daripada keseluruhan pengundi telah menunaikan tanggungjawab masing-masing pada PRN kali ini.

"Jumlah tersebut meliputi pengundi biasa, pengundi awal dan pengundi pos," katanya ketika mengumumkan keputusan rasmi PRN Melaka ke-16 di Menara Persekutuan Melaka, di sini malam ini.

Keputusan itu menyaksikan gabungan BN-PN memperoleh 24 kerusi, melepasi jumlah 19 kerusi untuk mendapat majoriti dua pertiga.

Sementara itu, Ramlan merakamkan penghargaan kepada semua agensi kerajaan, pasukan keselamatan, pihak berkuasa tempatan, media dan sukarelawan atas kerjasama serta bantuan sepanjang berlangsungnya PRN berkenaan.

Dapatkan berita terkini PRN Melaka ke-16 menerusi https://election.bernama.com/prn/melaka/2026/.

-- BERNAMA