Am 13/11/2026 12:48 AM

Malaysia Negara ASEAN Tunggal Capai Tahap Tertinggi Kesiapsiagaan Kriptografi Pascakuantum

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Malaysia Negara ASEAN Tunggal Capai Tahap Tertinggi Kesiapsiagaan Kriptografi Pascakuantum
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) -- Malaysia diiktiraf sebagai satu-satunya negara ASEAN yang mencapai tahap Tier 1 bagi kesiapsiagaan migrasi kriptografi pascakuantum (PQC), sekali gus mencerminkan keupayaan negara dalam menghadapi cabaran keselamatan siber dan teknologi masa hadapan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pengiktirafan itu berdasarkan laporan ASEAN Post-Quantum Cryptography Readiness 2026, ketika kerajaan giat memperkukuh pembangunan teknologi dan kepakaran tempatan bagi mengurangkan kebergantungan kepada teknologi asing.

Beliau berkata antara usaha dilaksanakan adalah penubuhan Pusat Pembangunan Keselamatan Siber dan Kriptologi Berhad serta pelaksanaan Dasar Kriptografi Negara (MyKriptografi).

“Inisiatif ini memberikan tumpuan kepada pembangunan kepakaran, penyelidikan dan inovasi serta penghasilan penyelesaian keselamatan siber dan teknologi kriptografi tempatan yang dipercayai bagi memenuhi keperluan keselamatan strategik negara,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen.

Beliau menjawab pertanyaan Tan Sri Abdul Hadi Awang (PN-Marang) mengenai tahap kedaulatan teknologi dalam sistem keselamatan strategik negara serta sasaran kerajaan mengurangkan kebergantungan kepada teknologi, perisian, sistem dan kepakaran asing.

Ahmad Zahid berkata pembangunan Sovereign AI Cloud turut menjadi antara usaha kerajaan memperkukuh kedaulatan data dan keselamatan teknologi strategik bagi memastikan data penting negara dilindungi mengikut keperluan keselamatan serta perundangan domestik.

“Kerajaan berpegang kepada prinsip teknologi-agnostik (technology-agnostic) yang membolehkan kerjasama strategik dengan pelbagai penyedia teknologi, di samping mengutamakan pembangunan keupayaan tempatan dan mengurangkan risiko kebergantungan kepada mana-mana penyedia teknologi asing.

“Usaha ini akan dilaksanakan secara berperingkat bagi meningkatkan keupayaan negara untuk menilai, mengawal, mengurus dan melindungi sistem keselamatan strategik secara kendiri,” katanya.

Dalam masa sama, katanya, kerajaan melalui Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) telah membangunkan Strategi Keselamatan Siber Malaysia (MCSS) 2025-2030 sebagai hala tuju memperkukuh keselamatan dan daya tahan siber negara, termasuk pembangunan kepakaran tempatan.

Ahmad Zahid berkata pelaksanaan Akta Keselamatan Siber 2024 turut menyediakan kerangka perundangan bagi memperkukuh tadbir urus keselamatan siber serta perlindungan Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara (NCII).

-- BERNAMA