ISKANDAR PUTERI, 11 Nov (Bernama) -- Program myKomuniti Perikanan (myKP) di Johor terbukti mampu meningkatkan sosioekonomi komuniti nelayan apabila sebuah kumpulan di negeri itu berjaya menjana pendapatan sehingga RM5 juta setahun menerusi aktiviti penternakan kerang.
Pengarah Perikanan Negeri Johor Rosmawati Ghazali berkata pencapaian itu direkodkan oleh myKP Sungai Ayam di Batu Pahat yang bukan sahaja mengusahakan penternakan kerang, malah turut menjalankan aktiviti pemborongan hasil laut.
Beliau berkata penternakan kerang mempunyai kelebihan dari segi kos operasi kerana tidak memerlukan bekalan makanan atau pemantauan kualiti air seperti aktiviti akuakultur lain, sekali gus membolehkan komuniti berkenaan menikmati margin keuntungan yang lebih tinggi.
"Selain menternak, komuniti ini turut menjadi pemborong dengan mendapatkan bekalan (kerang) dari myKP di kawasan Batu Pahat, Pontian, dan Tangkak," katanya kepada pemberita pada Program Pengukuhan Kumpulan Sasar myKP Pendekar Laut Bersama Media Johor, di sini hari ini.
Menurut Rosmawati pencapaian luar biasa itu disusuli dengan kejayaan 18 lagi myKP yang terdiri daripada Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan pendapatan lebih RM300,000 setahun.
Beliau berkata di Johor kini terdapat 41 myKP melibatkan 136 nelayan, menjadikannya negeri yang mempunyai jumlah myKP terbanyak di negara ini semenjak inisiatif itu diperkenalkan pada 2017.
Menurutnya myKP merangkumi kumpulan nelayan pantai, nelayan darat, akuakultur dan nelayan Orang Asli yang menjalankan pelbagai aktiviti berkaitan perikanan.
Antara aktiviti dan fokus utama meliputi projek estet kerang-kerangan, rekreasi perikanan, penangkapan ikan di pantai dan darat, pengurusan sumber perikanan, pusat pengumpulan ikan segar dan bengkel pembaikan enjin.
Rosmawati berkata myKP di bawah kelolaan Jabatan Perikanan turut membantu menambah dan mempelbagaikan sumber pendapatan komuniti perikanan sedia ada serta membuka peluang ekonomi berasaskan potensi sumber kekayaan baharu.
Selain itu, program itu membantu pengurusan sumber dan aktiviti perikanan berasaskan komuniti serta melibatkan komuniti secara langsung dalam usaha pemuliharaan sumber perikanan dan alam sekitar.
"myKP juga bertindak sebagai media penghubung dan rakan strategik jabatan untuk memastikan keberkesanan program di lapangan," katanya.
Terdahulu, program anjuran Jabatan Perikanan Negeri Johor itu memberi peluang kepada pengamal media di Johor untuk menyaksikan pelbagai aktiviti perikanan yang dilaksanakan myKP Pendekar Laut di Pendas, Gelang Patah.
Pengamal media turut diberi peluang merasai pengalaman menjala, memancing ikan dan memintal tali kupang, selain menyaksikan demonstrasi penukaran pelepah pada unjam, yang digunakan untuk menarik ikan supaya berlindung dan mencari makanan.
-- BERNAMA