Dunia 11/11/2026 08:54 AM

Iran Gesa PBB, IAEA Kecam Tawaran US$20 Juta AS Untuk Maklumat Nuklear

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Iran Gesa PBB, IAEA Kecam Tawaran US$20 Juta AS Untuk Maklumat Nuklear
Menteri Luar Iran Abbas Araghchi. Kredit: IRNA

ISTANBUL, 11 Nov (Bernama-Anadolu) -- Menteri Luar Iran Abbas Araghchi pada Selasa menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) mengecam tawaran Amerika Syarikat (AS) sehingga US$20 juta bagi mendapatkan maklumat mengenai program nuklear Iran, sambil memberi amaran bahawa langkah itu boleh mengancam keselamatan kemudahan nuklear dan saintis negara berkenaan, lapor Anadolu Ajansi.

Menurut agensi berita rasmi Iran, IRNA, Araghchi dalam surat kepada Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres, Presiden Majlis Keselamatan PBB dan Ketua Pengarah IAEA Rafael Grossi menyifatkan pengumuman itu sebagai "amat menjijikkan" serta menggesa supaya ia dikecam sekeras-kerasnya.

Beliau berkata tawaran yang diumumkan menerusi program "Rewards for Justice" oleh Jabatan Negara AS dan dikongsi semula oleh Pemerintahan Pusat AS (CENTCOM) itu bertujuan mendapatkan maklumat mengenai kemudahan nuklear, peralatan, saintis dan kakitangan, selain menawarkan kemungkinan penempatan semula.

Araghchi menuduh Washington menggalakkan kegiatan pengintipan terhadap program nuklear Iran dan memberi amaran bahawa inisiatif itu boleh mendedahkan saintis nuklear serta kakitangan teknikal kepada risiko pembunuhan, sabotaj dan ancaman keselamatan lain.

Beliau turut mempersoalkan kredibiliti dan integriti sistem pemantauan IAEA apabila maklumat sulit mengenai kemudahan nuklear yang tertakluk kepada langkah perlindungan agensi itu cuba diperoleh melalui tawaran berkenaan.

Araghchi memberi amaran bahawa pelaksanaan biasa kewajipan di bawah langkah perlindungan IAEA tidak boleh diharapkan sekiranya kemudahan nuklear, kakitangan dan maklumat sensitif terus terdedah kepada ancaman serangan serta sabotaj.

Beliau menegaskan bahawa Artikel IV Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear (NPT) mengiktiraf hak negara untuk membangunkan dan menggunakan tenaga nuklear bagi tujuan keamanan.

Sehubungan itu, Araghchi menggesa Majlis Keselamatan PBB menangani kemungkinan implikasi langkah berkenaan terhadap keamanan dan keselamatan antarabangsa serta memastikan Washington dipertanggungjawabkan atas tindakan yang menyalahi undang-undang.

Beliau turut menggesa Grossi memastikan kerahsiaan maklumat yang diperoleh semasa pemeriksaan terpelihara, menghalang penyalahgunaannya bagi tujuan risikan dan membawa perkara itu kepada perhatian Lembaga Gabenor IAEA.

Program Rewards for Justice kendalian Jabatan Negara AS menawarkan ganjaran kewangan bagi maklumat berkaitan ancaman terhadap keselamatan negara itu.

Menurut surat Araghchi, pengumuman terbaharu program berkenaan menawarkan ganjaran sehingga US$20 juta serta kemungkinan penempatan semula sebagai balasan bagi maklumat mengenai program nuklear Iran.

Pertikaian itu berlaku ketika ketegangan masih berlarutan susulan serangan ketenteraan AS dan Israel terhadap Iran yang dilancarkan pada 28 Feb.

Walaupun beberapa usaha diplomatik dilaksanakan selepas itu bagi menamatkan konflik, Washington dan Tehran masih berselisih pendapat berhubung aktiviti nuklear Iran, pelonggaran sekatan serta syarat untuk mencapai penyelesaian berkekalan.

-- BERNAMA-ANADOLU