Am 11/11/2026 08:33 AM

Bomba Kelantan Pertimbang Syif Sehingga 48 Jam Jika Banjir Besar - Pengarah

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Bomba Kelantan Pertimbang Syif Sehingga 48 Jam Jika Banjir Besar - Pengarah
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan Farhan Sufyan Borhan

KOTA BHARU, 11 Nov (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan mempertimbangkan untuk melanjutkan tempoh syif bertugas anggota sehingga 48 jam, sekiranya berlaku banjir besar pada musim Monsun Timur Laut (MTL) 2026/2027 bagi meningkatkan kekuatan operasi menyelamat.

Pengarah JBPM Kelantan Farhan Sufyan Borhan berkata langkah itu, termasuk mengubah sistem syif sedia ada daripada 12 jam kepada 24 jam atau 48 jam, bergantung kepada keperluan dan situasi semasa bencana.

Beliau berkata ketika ini anggota bertugas mengikut sistem syif 12 jam yang dibahagikan kepada tiga pasukan, bagi memastikan operasi balai bomba berjalan secara berterusan.

“Untuk meningkatkan lagi keanggotaan sekiranya berlaku kejadian banjir besar, kita akan kawal cuti dan menukar daripada syif 12 jam kepada 24 jam bagi meningkatkan jumlah anggota bertugas,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata pembekuan cuti anggota turut boleh dilaksanakan berdasarkan keadaan bencana bagi memastikan keperluan tenaga kerja mencukupi, terutama ketika operasi menyelamat memerlukan lebih ramai anggota untuk digerakkan.

Farhan Sufyan berkata bagaimanapun, keupayaan aset seperti bot, lori dan kenderaan pacuan empat roda turut menjadi faktor penting, dalam menentukan keberkesanan operasi kerana pertambahan anggota sahaja tidak mencukupi tanpa sokongan aset yang bersesuaian.

Dalam perkembangan berkaitan, JBPM Kelantan turut mengenal pasti lebih awal golongan rentan termasuk warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan pesakit terlantar di kawasan berisiko banjir bagi memudahkan perancangan operasi dan urusan pemindahan sekiranya berlaku bencana.

Beliau berkata perkara itu dilaksanakan menerusi penyelarasan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dengan penglibatan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Kesihatan.

“Memang kita sudah kenal pasti kawasan ini ada berapa orang OKU, berapa orang warga emas yang memerlukan perhatian dan perkara itu telah diselaraskan di peringkat Jawatankuasa Bencana Negeri,” katanya.

Ahad lepas, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada di beberapa kawasan di Kelantan, Pahang, Sabah dan seluruh Terengganu hingga hari ini.

Menurut MetMalaysia, kawasan terlibat di Kelantan ialah Tanah Merah, Pasir Mas, Tumpat, Kota Bharu, Machang, Bachok, Pasir Puteh, Kuala Krai dan Jeli.

Susulan amaran itu, Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara, Jabatan Pengairan dan Saliran memaklumkan sembilan jajahan di Kelantan berkemungkinan dilanda banjir dalam tempoh yang sama.

-- BERNAMA