BANDAR BAHARU, 10 Nov (Bernama) -- Sebanyak 18 rumah di enam kampung di daerah ini terjejas akibat banjir susulan hujan berterusan melebihi dua jam, petang tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Bandar Baharu, Leftenan (Pertahanan Awam) Abdul Rahim Khairuddin berkata kawasan terjejas membabitkan empat rumah di Mukim Serdang, dan 14 rumah lagi di Mukim Relau.
"Dua kampung yang terjejas di Mukim Serdang ialah Kampung Sungai Punti dan Kampung Batu 16 Lombong A, manakala di Mukim Relau pula membabitkan empat kampung, iaitu Kampung Paya Semambu, Kampung Tengah Relau, Kampung Kilang Batu, dan Kampung Padang.
"Seramai 10 anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) digerakkan bagi menjalankan pemantauan di kawasan berisiko banjir, termasuk memantau paras air sungai utama serta membantu penduduk memindahkan barangan ke tempat lebih tinggi," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata APM daerah Bandar Baharu turut menjalankan pemantauan di kawasan yang berisiko banjir dan sungai utama.
"Paras air di Sungai Punti, Mukim Serdang didapati berada pada paras bahaya, manakala di Sungai Semambu, Mukim Relau pula berada pada tahap waspada.
"Setakat 9 malam tadi, hujan renyai masih melanda, dan penduduk di kawasan berisiko dinasihatkan agar sentiasa berwaspada serta mematuhi arahan pihak berkuasa bagi menghadapi sebarang kemungkinan," katanya.
-- BERNAMA