Am 10/11/2026 11:15 PM

FRIM Tawar Pengalaman Ekopelancongan Satukan Pendidikan Alam Sekitar, Rekreasi

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
FRIM Tawar Pengalaman Ekopelancongan Satukan Pendidikan Alam Sekitar, Rekreasi
Kredit: FRIM

KUALA LUMPUR, 10 Nov (Bernama) -- Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) di Kepong, Selangor menawarkan pelbagai aktiviti ekopelancongan yang menggabungkan rekreasi, pendidikan alam sekitar dan pemuliharaan biodiversiti bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan hutan.

FRIM dalam kenyataan hari ini memaklumkan antara tarikan utama yang disediakan ialah Jejantas Rimba (Forest Skywalk) di Taman Botani Kepong (KBG), yang menawarkan pengalaman menikmati keindahan hutan dari aras kanopi.

“Jejantas Rimba ini mempunyai 11 menara dengan ketinggian antara 18 hingga 50 meter dan lapan jambatan berukuran 250 meter panjang.

“Dari menara jejantas setinggi 50 meter, pengunjung dapat menikmati panorama memukau yang menggabungkan pemandangan KBG, serta latar langit bandar raya Kuala Lumpur yang berpadu dengan kehijauan hutan buatan manusia FRIM,” menurut kenyataan itu.

Selain menjadi lokasi rekreasi, KBG turut berfungsi sebagai pusat pemuliharaan tumbuhan hidup, yang memfokuskan kepada spesies tumbuhan Malaysia, di samping menyokong penyelidikan botani, hortikultur serta pemuliharaan spesies tumbuhan nadir dan terancam di luar habitat asal (ex situ).

FRIM turut menyediakan perkhidmatan lawatan berpandu di sepanjang denai hutan dalam kampus utamanya, dengan jurupandu alam memberikan penerangan mengenai ekologi hutan serta kepelbagaian spesies flora dan fauna.

Melalui lawatan itu, pengunjung berpeluang menyaksikan fenomena malu-malu silara (crown shyness), iaitu keadaan apabila silara pokok kapur (Dryobalanops aromatica) tidak bersentuhan antara satu sama lain sehingga membentuk corak semula jadi seperti rekahan di langit.

Menurut FRIM, tapak perkhemahan Kem Perah turut disediakan untuk aktiviti pendidikan alam sekitar, pembelajaran berasaskan pengalaman dan pembinaan semangat berpasukan, khususnya melibatkan sekolah, institusi pengajian tinggi serta kumpulan korporat.

Kem Pine pula menawarkan penginapan berkonsepkan perkhemahan mewah dalam persekitaran hutan yang tenang bagi pengunjung yang mengutamakan privasi dan pengalaman rekreasi dalam kumpulan kecil.

Selain itu, aktiviti penerokaan hutan pada waktu malam dan pemerhatian burung turut ditawarkan bagi memberikan peluang kepada pengunjung mengenali hidupan nokturnal serta memahami peranan burung dalam ekosistem hutan.

Bagi peminat aktiviti lasak, Perah High Ropes Obstacle Course menyediakan pelbagai cabaran termasuk laluan berhalangan, jambatan gantung dan luncur tali yang bertujuan membina keyakinan diri serta kemahiran kepimpinan.

Taman Hutan FRIM, yang terletak di Kepong diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada Julai 2025.

Pengiktirafan itu mencerminkan kejayaan usaha pemulihan kawasan terosot sejak awal abad ke-20 sehingga membentuk landskap hutan tropika buatan manusia, yang kini dimanfaatkan untuk penyelidikan, rekreasi dan pendidikan alam sekitar.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut atau membuat tempahan aktiviti ekopelancongan FRIM boleh menghubungi Pusat Informasi Pelawat (VIC) menerusi e-mel frim_enquiry@frim.gov.my.

-- BERNAMA